KUALA KRAI, 12 Ogos: Program Perkampungan Seni Dabong berjaya merakam detik indah bait-bait puisi bergema di Gua Ikan, Dabong pada 6 Ogos.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin berkata aktiviti penghayatan seni melalui ekspresi puisi sangat bagus sentiasa diadakan kerana baginya, aktiviti demikian mampu mendekatkan manusia dengan alam dan Pencipta.
“Kita amat mengalu-alukan penganjuran program sebaik ini. Sewajarnya, acara sastera dan budaya dilaksanakan secara berkala di sini. Puisi bersifat sejagat mudah difahami
dan dapat mendekatkan lagi masyarakat dengan keindahan alam dan Tuhan serta mencipta pengalaman luar biasa kepada rakyat Dabong.
Kita pun sudah berasa puisi dan sastera yang indah ini mudah melekat di hati,” katanya ketika melancarkan antologi puisi dan memoir Train To Dabong 2.
Buku tersebut diselenggara oleh Pengerusi Kembara Sastera, Mukhtar Mustafa. Program anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBWT), Majlis Daerah Dabong dan Persatuan Penulis Kembara Sastera itu turut mengadakan pertandingan deklamasi puisi melibatkan peserta dari seluruh negara.
Di samping itu, bengkel penulisan, pesta jualan buku dan persembahan deklamasi puisi juga mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan.