Home Berita PAS Kelantan

PRU15 tidak sesuai diadakan tahun ini, apa kata rakyat?

140
SHARE

KOTA BHARU, 28 September: Walaupun ada segelintir pihak yang mahukan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) diadakan segera, namun Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan ia tidak sesuai diadakan pada tahun ini kerana kebiasaannya taburan hujan tinggi dan risiko berlakunya bencana banjir pada pertengahan November.

“Kita perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat dan fokus kepada perkara yang lebih utama,” kata beliau menerusi laman sosial rasminya, semalam.

Rentetan perkara tersebut, pihak media daripada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) telah mengadakan temubual dengan beberapa penduduk di sekitar kawasan yang lazimnya mengalami banjir.

Menurut Juliana Ismail, 43, pensyarah institusi pengajian tinggi di Kota Bharu yang tinggal di Taman Sri Sentosa, Jias Pasir Mas berkata PRU15 sesuai diadakan sekiranya ia boleh dibuat secara atas talian dan sekiranya tidak berlaku sedemikian, ia tidak sesuai dibuat pada tahun ini.

“Ini kerana penduduk di kawasan banjir akan menghadapi masalah untuk ke tempat pengundian dan dalam masa yang sama juga akan berlaku kesesakan pengangkutan dan manusia disebabkan musim hujan,” katanya.

Selain itu, Hasnah Alias, 50, salah seorang penduduk Kampung Telok Jering, Tumpat juga berkata, memang menjadi kebiasaan apabila tiba musim tengkujuh, rumah di kawasannya akan ditenggelami air sampai ke paras pinggang dan kebiasaanya, kami akan di bawa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di balai raya atau di sekolah-sekolah yang berdekatan.

“Sekiranya sekolah dijadikan tempat mengundi pada masa tersebut, bagaimana pula dengan nasib kami apabila banjir berlaku? Ke mana kami harus berpindah?,” soalnya.

Sementara itu Nik Mohammad Redzuan Naim Nik Mariadi, 25, belia dari Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh pula berkata, kampungnya juga kerap berlaku banjir pada musim tengkujuh dan baginya PRU15 tidak sesuai dilangsungkan pada musim tersebut kerana boleh menyukarkan banyak pihak.

“Tetapi kita sebagai rakyat tidak ada kuasa untuk menidakkannya, kerana penentuan mengenai tarikh sebenar PRU15 hanya akan ditentukan kerajaan dan parti.

“Kita sebagai rakyat, hanya perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bila tiba tarikh dan masa ketikanya,” katanya.