Home Berita PAS Kelantan

KeTSA komited selesaikan isu tunggakan pembahagian pusaka

22
SHARE

KOTA BHARU, 27 September: Usaha berterusan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam menangani tunggakan kes pembahagian pusaka menunjukkan peningkatan positif apabila 29,423 kes telah berjaya diselesaikan iaitu pengurangan 40 peratus daripada tunggakan sedia ada.

Berucap semasa Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,

“KeTSA berharap denagan pengambilan 50 pegawai dan 50 Pembantu Tadbir secara Contract of Service (COS) mulai Januari 2023 kelak dapat menyelesaikan baki tunggakan secara tuntas dan segera.”

Ujarnya lagi, KeTSA akan terus menerajui usaha-usaha bagi memastikan isu tunggakan pembahagian pusaka kecil diberi perhatian sewajarnya dalam memastikan suasana harmoni dapat diwujudkan dalam kalangan rakyat selaras dengan Nilai Kebersamaan dalam Konsep Keluarga Malaysia.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, YB Dato’ Ustaz Abdullah Ya’kub dan turut dihadiri oleh Timbalan Speaker DUN, YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Exco Belia dan Sukan, YB Wan Roslan Wan Hamat, Exco Wanita Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Ahli Parlimen Rantau Panjang yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , YB Dato’ Siti Zailah Yusoff.