Home Berita PAS Johor

PRN Johor : Demi rakyat, Cikgu Mala tinggalkan karier sebagai guru

471
SHARE

Oleh NUR ‘IFFAH

SEKIJANG, 3 Mac : “Saya cukup sedar dengan cara ini saya akan kehilangan sebuah kerjaya yang telah saya impikan sejak kecil.

Demikian kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi N.04 Kemelah, Normala Sudirman yang mesra dipanggil Cikgu Mala.

Bahkan menurutnya, beliau sedar keputusannya untuk terjun dalam arena politik secara sepenuh masa akan menyebabkan beliau kehilangan segala faedah yang pernah dinikmati selaku penjawat awam.

“Saya sedar perkara ini akan menyebabkan saya kehilangan kelayakan pencen, dari kehidupan dengan gaji yang selesa kepada sesuatu yang belum tentu apa kesudahannya,” ujarnya ketika ditemubual dalam segmen ‘Nasi Himpit Kuah Lodeh’di sini hari ini.

Menyingkap kembali sejarah lalu, beliau yang mula berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Felda Kemelah pada tahun 1997 itu mengambil keputusan nekad untuk meletakkan jawatan sebagai guru pada tahun 2011 itu bagi menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tenang.

“Sekolah Kebangsaan Felda Kemelah merupakan tempat saya bersekolah suatu ketika dahulu, bahkan lebih menambah nilai sentimental adalah guru yang mengajar saya dahulu, menjawat jawatan sebagai guru besar ketika saya melapor diri.

“Beliau yang kami panggil Cikgu Sahak, merupakan orang yang paling gembira ketika menerima kehadiran saya sebagai guru baru di sekolah tersebut.

“Namun, air mata beliau ketika menerima surat perletakan saya, sesekali tidak akan saya lupakan walaupun peristiwa berkenaan telah berlaku 13 tahun yang lalu,” tambahnya menahan sebak.

Hal demikian ujarnya, menjadi faktor yang memberikan kekuatan untuknya terus berpencak di medan politik meskipun terpaksa menempuh pelbagai cabaran serta kesukaran.

Ketika ditanya mengenai perancangan beliau jika dipilih, anak jati Felda Kemelah itu mengakui bercita-cita untuk mengubah landskap pemikiran serta fizikal tanah kelahirannya.

“Hasrat saya adalah untuk melihat lahirnya generasi masyarakat yang cemerlang serta seimbang pembangunan jiwa dari sudut duniawi dan ukhrawi, membawa pembangunan kepada masyrarakat, memberi keutamaan terhadap kebajikan dan isu-isu kemasyarakatan terutama berkaitan kebajikan wanita, demi kemaslahatan dan manfaat para penduduk negeri Johor, khususnya di kawasan Sekijang,” ujarnya.