Home Berita PAS Pahang

YADIM Pahang meriahkan Kg Sertik dengan program Belia Cinta Masjid sempena bulan barakah

132
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 4 Mac :: Sejajar dengan kedatangan bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang, telah menganjurkan program Ihya’ Bulan Barakah – Belia Cinta Masjid, bertempat di Felda Kampung Sertik, dekat sini, Selasa lalu.

Program dua hari itu menyasarkan keterlibatan anak muda dan masyarakat bertujuan merapatkan hubungan mereka dengan masjid sekaligus mampu mengimarahkan institusi itu.

Menurut Ketua Koordinator Sukarelawan YADIM Bentong, Ustazah Faezah Muhammad, program-program dakwah ini amat penting  direncana dan dirancakkan agar kelestarian dakwah sentiasa subur membugar.

Tiga program telah dilaksanakan bermula pagi hari pertama iaitu Liga Futsal Remaja bertempat di Padang Felda Kampung Sertik dan acara menghias pulut kuning bagi wanita dan beliawanis di Bangunan GPW Felda Kampung Sertik.

Manakala sebelah malamnya pula telah diadakan Forum Perdana Israk Mikraj di Masjid Jamek Kampung Sertik dengan kehadiran istimewa Pengarah YADIM Pahang, Ustaz Mohammad Hazmi Dibok sebagai ahli panel.

Bagi hari kedua pula telah diadakan program menanam pokok herba di kawasan persekitaran masjid dan membersih tanah perkuburan melalui gotong-royong YADIM – Lestari Alam Sekitar.

Dalam masa sama, pihak urusetia turut menganjurkan Kem Remaja Islam dikendalikan penceramah jemputan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Nasrul Hadi Johari, bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Sertik.

“Moga usaha dakwah di bumi Bentong sentiasa rancak diadakan ke arah melahirkan masyarakat Rabbani dan warganegara sejahtera,” ujar Faezah usai tamat program dirasmikan Ustaz Hazmi Dibok dan turut dihadiri Pengurus Felda Kampung Sertik, Faisal Ismail.