Home Berita PAS Kelantan

PKINK edar 200 paket juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan

39
SHARE

KOTA BHARU, 19 April: Bersempena Program Ihya’ Ramadan 1443H, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyampaikan sumbangan 200 paket juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Pusat Perubatan An-Nisa’ di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin berkata, sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan dan ingatan kepada seluruh petugas barisan hadapan kesihatan yang berhempas pulas menjaga pesakit serta sentiasa berusaha menghentikan penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

“Terima kasih kepada semua frontliners atas perkhidmatan yang telah diberikan. Semoga setiap pengorbanan dan kerja buat yang telah dicurahkan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Tuan Haji Ab Aziz Yunus dalam ucapannya turut berterima kasih kepada YB Exco serta pihak pengurusan HRPZ II yang turut memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan program ini.

Tambahnya, beliau berharap agar sumbangan yang di berikan ini akan dapat membantu meringankan beban para petugas hospital, serta sokongan yang sepenuhnya harus diberikan kepada institusi kesihatan di saat wabak COVID-19 yang masih lagi belum berakhir.

Turut hadir Timbalan Pengarah Perubatan I – Pemangku Pengarah HRPZ ll, Dr Nik Mohd Faizal Zainal Abidin; Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia PKINK, Ahmad Nazri Ismail; Pengurus-pengurus Kanan serta Pengurus-pengurus Bahagian Kumpulan PKINK.