Home Minda Presiden

PETUNJUK AL-QURAN WAJIB DIPERTAHANKAN

21
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 17 / 2025]

PETUNJUK AL-QURAN WAJIB DIPERTAHANKAN


Firman Allah SWT:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil). Oleh itu, sesiapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa pada bulan Ramadan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [Surah al-Baqarah: 185]

Antara peristiwa besar yang berlaku pada bulan Ramadan ialah peristiwa Nuzul al-Quran (diturunkan al-Quran). Itulah mukjizat ilmu kurniaan Allah kepada Rasulullah SAW, yang diturunkan di Mawaqi‘ al-Nujum. Firman Allah SWT:

۞فَلَآ أُقۡسِمُ بِمَوَٰقِعِ ٱلنُّجُومِ ٧٥ وَإِنَّهُۥ لَقَسَمٞ لَّوۡ تَعۡلَمُونَ عَظِيمٌ ٧٦ إِنَّهُۥ لَقُرۡءَانٞ كَرِيمٞ ٧٧ فِي كِتَٰبٖ مَّكۡنُونٖ ٧٨ لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ ٧٩ تَنزِيلٞ مِّن رَّبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٨٠ أَفَبِهَٰذَا ٱلۡحَدِيثِ أَنتُم مُّدۡهِنُونَ ٨١

“Maka, Aku bersumpah dengan masa turunnya bahagian-bahagian al-Quran. (75) Sesungguhnya, sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalau kamu mengetahuinya. (76) Sesungguhnya, (bacaan) al-Quran itu adalah bacaan yang sangat mulia. (77) Pada kitab yang terpelihara (Lawh al-Mahfuz). (78) Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang bersih dan suci. (79) (Al-Quran) itu diturunkan daripada Rabb al-‘Alamin. (80) Maka, apakah kamu menganggap remeh sahaja al-Quran ini? (81)” [Surah al-Waqi‘ah: 75-81]

Golongan ahli sains angkasa lepas Muslim menterjemahkan secara realiti maksud dalam ayat di atas dengan kawasan terletaknya bintang cakerawala yang peredarannya sangat hebat, sehingga gelombangnya menjadikan bumi tidak mampu bertahan.

Golongan ulama’ pula menyebut dengan nama Bait al-Izzah. Al-Quran diturunkan ke situ sebelum ia diwahyukan secara berperingkat kepada Rasulullah SAW pada Marhalah Makkiyyah dan Marhalah Madaniyyah yang memakan masa selama 23 tahun.

Betapa mulianya al-Quran, maka diberikan kelebihan kepada para pembacanya dan ahli dalam segala ilmunya. Perkara yang penting, al-Quran menjadi petunjuk kepada seluruh manusia sepanjang zaman dalam semua urusan kehidupan mereka mengikut petunjuk Allah yang terkandung di dalamnya. Malah, diajar pelaksanaannya melalui hikmah Sunnah Rasulullah SAW yang diikuti oleh para pemimpin dan ulama’ sahabat pada zamannya serta sepanjang zaman berikutnya.

Maka, Al-Quran dijadikan dasar tertinggi negara Islam yang telah ditegakkan oleh Rasulullah SAW, sebuah negara yang berdaulat dan seluruh kepimpinan negara berada di bawah perlembagaannya. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulu al-amr antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Sama ada sistem khilafah (ketua negara pilihan pemimpin rakyat) atau mulkiyyah (monarki beraja secara warisan) berada di bawah Perlembagaan Islam yang meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertinggi.

Apabila petunjuknya adalah penyelamat manusia sepanjang zaman, maka ajarannya dipertahankan dengan kewajipan berjihad yang paling mencabar dalam perjalanan hidup.

Al-Quran berjaya mendidik manusia jahiliah di tengah-tengah gurun pasir yang terpencil daripada tamadun, tiba-tiba melahirkan para pemimpin dan ilmuwan yang berjaya memerintah dunia selama beberapa abad keemasannya dengan ilmu yang bermanfaat kepada manusia hingga kini. Ternyata, apabila al-Quran dipinggirkan daripada memandu manusia sehingga melahirkan tamadun Barat yang mencuri tamadun Islam, telah merosakkan kehidupan manusia kerana menolak al-Quran menjadi panduan hidup yang sempurna.

Betapa pentingnya Islam yang berpandukan al-Quran, apabila berlakunya peristiwa murtad dengan kewafatan Rasulullah SAW lalu para sahabat bangkit mempertahankan Islam dan antara paling ramai yang gugur syahid ialah para qurra’ dan huffaz (pemelihara ilmu al-Quran), sehingga dilakukan usaha bagi memelihara al-Quran secara bertulis. Dan dikumpulkannya dalam satu mushaf yang terpelihara tulisan dan bacaannya, bahkan segala ilmunya sehingga kini.

Apa yang menakutkan ialah amaran Rasulullah SAW akan munculnya kumpulan yang sekadar membacanya sahaja, tetapi tidak berjihad bagi mempertahankannya. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang banyak, antaranya:

سَيَخْرُجُ قَوْمٌ فِي فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ أَحْدَاثُ الأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الأَحْلاَمِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ. يَقْرَؤونَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا، لِمَنْ قَتَلَهُمْ، عِنْدَ اللّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

“Akan muncul pada akhir zaman, satu kumpulan yang mentah dan jahil, tetapi paling pandai bercakap; mereka membaca al-Quran, namun sekadar di kerongkongan sahaja (tidak masuk ke dalam hatinya); mereka terkeluar daripada agama (Islam) laksana panah yang meluncur ke arah sasarannya. Apabila kamu menemui mereka, maka perangilah (tentanglah mereka) kerana menentang mereka itu beroleh pahala yang besar pada Hari Kiamat kelak.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Istitabah al-Murtaddin wa al-Mu‘anidin wa Qitalihim, No. 6930 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, No. 1066, daripada ‘Ali bin Abi Talib]

Dalam riwayat yang lain ditambah dengan sabdanya:

إِنَّ مِنْ ضِئْضِئِ هَذَا، أَوْ: فِي عَقِبِ هَذَا قَوْمًا يَقْرَءُونَ القُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ، يَقْتُلُونَ أَهْلَ الإِسْلاَمِ وَيَدَعُونَ أَهْلَ الأَوْثَانِ، لَئِنْ أَنَا أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عَادٍ.

“Sesungguhnya, daripada mereka (golongan yang membaca al-Quran, namun sekadar di kerongkongan sahaja; mereka terkeluar daripada agama Islam laksana panah yang meluncur ke arah sasarannya) lahirnya kumpulan-kumpulan yang menentang kumpulan Islam dan membiarkan para penyembah berhala. Sekiranya, aku sempat menemui mereka, nescaya aku akan menentangnya sepertimana menentang kaum ‘Aad.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3344, daripada Abu Sa‘id al-Khudri]

Abu al-Hasan Ali al-Nadwi menegaskan bahawa kita sedang menghadapi zaman kedatangan penjajah yang membawa teori sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan manusia daripada agama Islam, suatu bentuk penyelewengan ketika sudah tidak ada lagi orang seperti Khalifah Abu Bakar RA untuk menentangnya.

Namun, Allah telah menetapkan adanya kumpulan Islam yang akan bangkit mempertahankan Islam. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54-56]

Kumpulan Islam ialah kumpulan yang bercirikan cinta akan Allah dan Rasul dengan menegakkan ajaran Islam yang sempurna, mengasihi saudara yang beriman dan gagah perkasa menghadapi musuh Islam, sedia berjihad menegakkan Islam, tidak peduli terhadap mereka yang menghina Islam dan wala’ (setia) kepada Allah, Rasul dan pemimpin yang taat berpegang kepada ajaran Islam.

Rasulullah SAW menegaskan supaya bersama kumpulan Islam dan pemimpin yang setia dengan sifat-sifat tersebut sebagaimana sabdanya:

‌تَلْزَمُ ‌جَمَاعَةَ ‌الْمُسْلِمِينَ ‌وَإِمَامَهُمْ.

“Bersama kumpulan Islam dan pemimpin (yang beristiqamah).”

Al-Quran ialah petunjuk cahaya lampu yang menjadi petunjuk sepanjang jalan, lalu mendedahkan manakah kumpulan Islam yang sebenar dan manakah yang berpura-pura atau menjadi musuh yang nyata.

Allah memberi peringatan supaya berwaspada dalam perjalanan hidup dengan firman-Nya:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Rasulullah SAW mentafsirkan ayat ini dengan melakar garis yang lurus di atas tanah dan melakarkan cabang-cabang yang banyak di sebelah menyebelahnya dan menyatakan bahawa di setiap cabang ada syaitan yang menggoda dengan banyak perkara yang menarik nafsu manusia seperti harta, takhta dan lain-lain.

Allah SWT juga mengajar kita dengan doa pada setiap rakaat solat:

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

“Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan ni‘mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7)” [Surah al-Fatihah: 5-7]

Jalan mereka yang dikurniakan petunjuk terdiri daripada kalangan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan orang-orang yang soleh.

Manakala mereka yang dimurkai pula ialah kalangan yang mengetahui kebenaran dengan ilmunya seperti Yahudi Ahli Kitab, para orientalis dan ulama’ jahat yang berilmu, tetapi mereka tidak beramal dengan ilmunya.

Adapun yang sesat pula mereka itu jahil tanpa ilmu, lebih malang sekiranya berlagak seolah-olah berilmu.

Percayalah kepada al-Quran, kitab suci mukjizat yang tidak mampu disahut cabaran Allah yang berfirman:

وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), cubalah buat satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka, jika kamu tidak dapat membuatnya, dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir (tidak percaya). (24)” [Surah al-Baqarah: 23-24]

Jangan pernah lupa perancangan penjajah untuk melumpuhkan pengajian al-Quran (Islam yang sempurna) dengan mengadakan undang-undang pentadbiran agama yang bertujuan mengawal dan mengawasi ilmu Islam yang sempurna. Pengajian agama dikawal, khutbah Jumaat diletakkan sempadan dengan menyempitkan kefahaman Islam hanya dalam perkara ibadat dan keluarga sahaja serta dilarang ajaran Islam dalam urusan negara yang berdaulat bersama Islam. Allah SWT memberi amaran kepada Ahli Kitab yang mengawal amalan kitab Allah supaya tidak disempurnakan melalui firman-Nya:

… أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ ٨٦

“…Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat kelak mereka dikembalikan kepada seksaan yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu lakukan. (85) Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan mereka dan mereka tidak akan ditolong. (86)” [Surah al-Baqarah: 85-86]

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam (ajaran) Islam dengan menyeluruh, dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]

Islam dibawa ke Nusantara dengan konsep raja berdaulat bersama Islam yang sempurna, tiba-tiba penjajah telah merampas kedaulatan raja-raja bersama Islam, menjadikan mereka tidak lagi berdaulat kerana hilang kuasa bersama Islam dengan melaungkan suara kosong Daulat Tuanku yang telah ditipu oleh syaitan penjajah.

Walaupun telah diisytiharkan kemerdekaan sejak setengah abad yang lalu, tetapi tanpa daulat yang sebenar bersama al-Quran.

Bulan Ramadan mentarbiah orang-orang yang beriman agar bersabar dan bersyukur kepada Allah kerana kurniaan iman dan Islam bersama al-Quran yang dibaca, antara cara bersyukur itu ialah menunaikan kewajipan mempertahankan kemuliaan al-Quran dan mengajak manusia kepada jalannya yang selamat berkonsepkan kebijaksanaan tanpa paksaan terhadap bukan Islam kerana iman dan Islam itu mewajibkan ikhlas kerana Allah. Semuanya terkandung dalam kegiatan kita dengan beribadat dan berilmu bersama Ramadan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Ramadan 1446 / 11 Mac 2025