Home Artikel PAS Kelantan

Perutusan Ramadhan 1440 YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan

43 views
SHARE


PERUTUSAN RAMADHAN 1440 YAB USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN

Rasulullah SAW Bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang mendirikan qiam Ramadhan (Terawih dan solat sunat yang lain) kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (Bukhari Dan Muslim)

Ramadhan yang hadir saban tahun adalah madrasah penyucian jiwa dan bulan tarbiah kepada umat Islam dalam membentuk peribadi mukmin sejati. Ramadhan bukan sekadar bulan berpuasa, namun ia adalah bulan tarbiah untuk melahirkan jiwa bertaqwa.

Salah satu amalan yang sangat dicintai oleh rasulullah ﷺ adalah sifat dermawan. Ketahuilah bahawa kedermawanan adalah salah satu sifat Allah Ta’ala, sebagaimana sabda nabi Muhammad ﷺ :

‏قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِنَّ اللَّهَ كَرِيمٌ يُحِبُّ الْكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الْجُودَ ، وَيُحِبُّ مَعَالِيَ الأَخْلاقِ وَيَكَرْهُ سَفْسَافَهَا

“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Mulia dan mencintai kemuliaan, Maha Memberi dan mencintai kedermawanan, Dia mencintai akhlak yang mulia dan membenci akhlak yang buruk.” (Riwayat Al Baihaqi, disahihkan Al Albani)

Bersedekah dapat membentuk keperibadian yang dermawan. Sifat ini jika di dukung dengan kefahaman agama yang baik, maka akan terhasil dua sifat mulia iaitu alim dan juud (dermawan). Kedua-dua akhlak mulia ini akan membolehkan seseorang mencapai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah ﷺ :

إِنَّمَا الدُّنْيَا لِأَرْبَعَةِ نَفَرٍ: عَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَعِلْمًا فَهُوَ يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ، وَيَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ، وَيَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقًّا، فَهَذَا بِأَفْضَلِ المَنَازِلِ

“Dunia itu untuk empat jenis hamba: Yang pertama, hamba yang diberikan rizqi oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Dia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan dia gunakan untuk menyambung silaturrahim. Dia menyadari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (Riwayat At-Tirmidzi, Hasan shahih)

Sempena kedatangan Ramadhan 1440H ini, marilah kita menyuburkan sifat-sifat mulia ini sehingga kita mampu lahir sebagai mukmin sejati di sisi Allah SWT. Kita tumpukan peningkatan amal ibadat masing-masing dan berganding-bahu dalam agenda membangunkan masyarakat sejahtera dan bertaqwa.

Semoga Allah memberkati kerajaan Negeri Kelantan dalam mendasari Merakyat Membangun Bersama Islam dan semoga negara Malaysia dapat dibangunkan dengan panduan Syariah. Ramadhan Karim!

============================
YAB USTAZ DATO’ BENTARA KANAN
DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Negeri Kelantan