JOM ikuti Siri Tadabbur Surah Al-Waqiah yang disusun oleh Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan kerjasama Ameerah & Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak.
Surah Al-Waqi’ah (سورة الواقعة) adalah surah ke-56 dalam Al-Quran. Ia terletak pada juzuk ke-27 dan mengandungi 96 ayat. Surah Al-Waqi’ah adalah surah Makkiyah.
Surah ini diturunkan selepas surah Taha dan dinamakan dengan Al-Waqi’ah yang bermaksud hari kiamat. Perkataan Al-Waqi’ah diambil pada ayat pertama dalam surah ini.
Surah Al-Waqiah menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Selain itu surah ini juga menerangkan tentang penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan adanya hari pembalasan.
Antara isi penting yang dibincangkan dalam surah Al-Waqi’ah adalah:
1. Keadaan huru-hara apabila terjadinya hari kiamat.
2. Keadaan manusia semasa dihisab (hari pembalasan). Pada hari pembalasan, manusia terbahagi kepada tiga golongan, iaitu golongan yang segera menjalankan kebaikan, golongan kanan, dan golongan yang celaka serta balasan yang akan diterima.
3. Bantahan Allah terhadap orang-orang yang mengingkari adanya Tuhan, hari kebangkitan, dan adanya hisab.
4. Gambaran tentang keadaan syurga dan neraka.
?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah : Siri 1
Ayat: 1-2 : Allah Mengingatkan Tentang Hari Qiamat
? Firman Allah serta terjemahannya:
إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ – ١
Apabila telah terjadi peristiwa besar itu.
لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ – ٢
Tidaklah akan terjadinya itu dapat didustakan.
? Tafsir ringkas:
1. Allah SWT menyebut : “Apabila telah terjadinya peristiwa besar. Al-Waqi’ah atau ‘Peristiwa Besar’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hari Qiamat.
2. Kalimah Al-Waqi’ah yang digunakan sebagai nama surah ini adalah salah satu dari nama-nama hari Qiamat. Kalimah الواقِعَةُ diambil dari kalimah asal وقع yang bermaksud ‘berlaku’, ‘pasti’. Ianya digunakan sebagai nama lain bagi hari Qiamat kerana hari Qiamat itu pasti terjadi dan pasti ada. Tidak dapat tidak, ia pasti akan berlaku. Cuma kita sahaja tidak tahu bilakah masanya ia akan berlaku.
3. Dalam Al-Quran, hari Qiamat mendapat pelbagai nama. Antaranya, Al-Haqqah (yang sebenarnya), Az-Zilzaal (gempa bumi besar), Al-Qari’ah (peristiwa besar). Mempercayai dan meyakini hari Qiamat juga adalah rukun iman yang kelima.
4. Seterusnya Allah SWT menegaskan bahawa kepercayaan terhadap peristiwa terjadinya hari Qiamat adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Kalimah كاذِبَةٌ boleh bermaksud ‘penolakan’. Maksudnya bila ia sudah mula berlaku, ia tidak akan dapat ditahan lagi. Ia pasti akan terus berlaku.
5. Dari segi logik akal, kewujudan alam ini bermula daripada tiada kepada ada. Setiap yang baru akan menjadi lama. Yang lama pasti rosak dan musnah. Begitu jugalah alam ini pasti akan hancur dengan berlakunya hari Qiamat.
? Pengajaran:
1. Kita perlu berpegang dan meyakini bahawa hari Qiamat pasti berlaku serta semua makhluk akan mati dan musnah.
2. Kita hendaklah sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki iman dengan mengingati mati dan hari Qiamat.
3. Kita perlu meyakini semua keenam-enam rukun iman termasuklah beriman pada hari Qiamat untuk mendapatkan iman yang syumul sebagai Mukmin.
4. Apabila berlakunya Qiamat, semua orang akan tahu, sedar dan tidak boleh menafikan lagi kebenaran hari Qiamat. Namun, pada ketika itu kita sudah tidak sempat untuk berpesan kepada sesiapa pun kerana kita semua akan mati. Justeru itu kita hendaklah sentiasa membuat persediaan dengan amalan soleh dan bersungguh-sungguh menjalankan kerja dakwah menyeru manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan meyakini kebenaran hari Qiamat.
? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar, juzuk 27
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
6 Mei 2019 / 1 Ramadhan 1440