Home Berita PAS Kelantan

Peringatan buat kita semua

153
SHARE
“Walaupun tidaklah sebesar mana sumbangan yang kami hulurkan, namun dari riak penerima nampak ada kegembiraan di wajah mereka. Mungkin mereka merasakan sekurang-kurangnya masih ada orang yang mengambil tahu hak orang lain di saat kesulitan sebegini. Ada orang kata, bukan pemberian itu yang diperlukan tetapi sejauh mana kita laksanakan kewajipan, itu yang ingin dilihat.
Walaupun apa keadaan, ada sebahagian masyarakat kita yang kurang bernasib baik dan perlu dibantu. Di Pusat Khidmat ADUN Temangan, sebagai wakil kerajaan, kami menyedari itu adalah tanggung jawab dan kewajipan yang telah diamanahkan kepada kami. Ia bukan kerja secara sukarela. Tinggal lagi, tidak semua kami boleh lakukan secara bersendirian dan mungkin banyak juga kelemahan lain di pihak kami.
AlhamdulilLah kami bukan hanya satu pihak yang melakukan kerja ini. Selain dari pihak kerajaan, ada NGO dan individu yang bersama mengambil tanggung jawab. Lagipun apabila ada orang senang dan ada yang susah, maka menjadi kewajipan kepada yang senang untuk membantu yang dalam kesusahan. Orang kita tanpa mengira bangsa memang sangat pemurah. Lebih-lebih lagi di saat sebegini.
Yang kita perlu sedar, saat kita melakukan satu kebaikan, ramai lagi orang lain yang melakukannya dan mungkin lebih dari apa yang kita mampu lakukan. Mungkin juga apa yang kita lakukan hari ini, orang lain sudah lama melakukannya.
Namun sedikit peringatan buat kami dan mungkin juga buat semua. Sedikit kebaikan yang kita lakukan tetapi dalam masa yang sama pula kita mencari kelemahan dan memperbesarkan keburukan pihak lain adalah tidak manis. Apa yang kita harapkan dengan perbuatan sebegitu. Lagipun ia tidak banyak membantu mereka yang susah walaupun mungkin kita mendapat sedikit pujian dan sanjungan orang. Nanti orang lain pula akan berusaha mencari kesalahan dan membesarkan kelemahan kita.
Tambahan pula di zaman media sosial ini, ramai yang akan susuli dengan komen-komen yang tidak sepatutnya. Akan ada pihak yang nantinya diherdik dan dihina tanpa usul periksa duduk perkara sebenar. Dosa sudah menjadi berangkai. Yang sebetulnya kita bersama melakukannya atas dasar berlumba-lumba membuat kebaikan sebagaimana perintah Allah فاستبقوا الخيرات.
Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan. Orang melihat dari pandangan yang berbeza. Banyak perkara yang membentuk sikap dan pandangan masyarakat terhadap orang lain. Hanya Allah yang mengganjari kebaikan yang kita lakukan dan memaafkan segala kelemahan kita. Semoga Allah juga permudahkan lagi urusan kita esok hari”