Home Berita PAS Kelantan

Penjelasan Persoalan Mengenai Projek Di Hutan Simpanan Kekal Negeri Kelantan

187
SHARE

1. YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar mengambil maklum mengenai persoalan-persoalan yang dikeluarkan melalui saluran laman sesawang “facebook” di bawah akaun pengguna yang bernama ‘Husam Musa’ berkaitan aktiviti penanaman spesis durian di Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian oleh Li Yongbo seluas 2,200 ekar. Dakwaan yang dikeluarkan itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik untuk memberikan imej yang tidak baik terhadap pihak Kerajaan Negeri Kelantan dalam suasana politik masa kini.

2. Isu yang dilontarkan oleh Datuk Husam Musa adalah melibatkan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian yang berkeluasan 17,420 hektar. Untuk makluman, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian merupakan Zon Pembangunan Ladang Hutan. Kerajaan Negeri sebelum ini telah memberi kelulusan kepada dua syarikat masing-masing bertarikh pada 07 Mei 2015 dan 15 April 2018 untuk pembangunan Projek Ladang Hutan Getah Klon Balak (TLC).

3. Pada 21 Mei 2020, Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan permohonan Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis kepada Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis dan Spesis Durian. Kelulusan tersebut adalah dengan menetapkan keluasan penanaman spesis durian yang dibenarkan hanya 30% daripada 350 hektar dan 404 hektar daripada keluasan yang diluluskan kepada dua syarikat tersebut.

4. Syarikat berkenaan telah melantik kontraktor yang telah mengusaha penanaman Musang king dan Li Yongbo hanyalah membuat pelaburan dalam kontraktor tersebut. Begitu juga sebagaimana berita tular berkaitan Li Yongbo pada tahun 2018 adalah melibatkan pelaburan yang dibuat pada ketika itu melalui kontraktor yang sama. Dengan itu, penglibatan Li Yongbo adalah tiada kaitan sama sekali dengan keputusan kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk projek tersebut.

5. Manakala, persoalan yang melibatkan Ladang Musang King seluas 7,500 ekar sebagaimana tulisan Datuk Husam adalah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bahawa Ladang Musang King tersebut melibatkan tanah persendirian bukannya Hutan Simpan Kekal ataupun tanah kerajaan.

6. Rakyat Kelantan sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan telus dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi terutama hutan. Sehingga kini, kawasan berhutan di Kelantan adalah 51% yang meliputi kawasan seluas 767,202.50 hektar daripada keluasan tanah Negeri Kelantan. Keluasan Hutan Simpanan Kekal Kelantan adalah 629,880.95 hektar bersamaan dengan 42% dari keluasan tanah negeri sekaligus menjadi antara penyumbang terbesar keluasan hutan dan kelestarian negara.

Mohd Asri Mat Daud
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
26 Sya’ban 1443/29 Mac 2022