Home Berita PAS Kelantan

Sektor pertanian di Kelantan manfaatkan Teknologi IR4.0

84
SHARE

KOTA BHARU, 29 Mac: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, industri Asas Tani, Bioteknolgi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menjelaskan pendigitalan Internet of Thing (IOT) antara kaedah yang diamalkan dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang membolehkan penyambungan peranti rangkaian internet mampu mengawal suhu atau kelembapan PH (Potential of Hyrogen) media tanaman, proses pembajaan serta meracun yang hanya dikawal melalui telefon pintar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, YB Saiful Adli Abu Bakar berkaitan kaedah pendigitalan sektor pertanian, perternakan dan perikanan selaras perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Kaedah pendigitalan Geospatial Pertanian juga mampu bagi mengenalpasti bentuk muka bumi, siri tanah dan kecerunan. Manakala aplikasi Penggunaan Drone dapat membantu petani dalam menjalankan aktiviti pertanian seperti pembajaan dan meracun, sekaligus dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan penggunaan baja dan racun pada tanaman menjadi lebih berkesan dan lebih menjimatkan kos,” katanya dalam Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri Ke-14 Tahun 2022, hari ini.

Selain itu, beliau berkata petani dari golongan belia atau usahawantani yang baru mula berjinak dalam sektor pertanian boleh mendapatkan info teknologi pertanian terkini menerusi aplikasi ‘playstore’ dalam telefon pintar seperti 100 tip tanaman dan agrimaths.

“Selaras dengan perkembangan teknologi evolusi Industri 4.0 ini juga, terdapat kilang tanaman (Plant Factory) mula diamalkan dimana proses penanaman sayuran di dalam bangunan yang membantu petani untuk mencapai penghasilan sayuran secara berterusan sepanjang tahun tanpa gangguan disebabkan bencana alam seperti banjir,” katanya.

Berhubung perkara yang sama, bagi sektor perikanan tangkapan, YB Tuan Saripudin menyatakan Jabatan Perikanan Malaysia telah memperkenalkan dan menguatkuasa peralatan teknologi pegawasan pemantauan di laut iaitu Automatic Identification System (AIS) dan Mobile Transceiver Unit (MTU) pada vesel penangkapan ikan tempatan.

“Untuk sektor akuakultur pula, Jabatan Perikanan Malaysia dalam proses merangka dan membangunkan penggunaan teknologi Geographic Information System (GIS) untuk ladang-ladang ternakan agar pengurusan sistem melalui integrasi data-data lebih bersistematik serta berhubungan demi memastikan elemen pengurusan sumber perikanan negara lebih produktif dan mampan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, bagi Jabatan Perkhidmatan Veterinar pula, beliau memaklumkan kaedah pendigitalan bagi sektor pernternakan selaras perkembangan teknologi evolusi Industri 4.0 telah dilaksanakan di peringkat negeri dan persekutuan.

“Di peringkat negeri, Sistem E-Ternak telah dirangka yang melibat dua fungsi utama iaitu sebagai Sistem Pendaftaran Lembu atau Kerbau dan juga Pelaporan Kemajuan Ternakan Pawah Secara Atas Talian (E-Pawah) untuk memudahkan proses pelaporan kemajuan ternakan pawah yang melibatkan data ternakan seperti pendaftaran lembu atau kerbau, maklumat kelahiran termasuk kesihatan. Manfaat sistem ini mampu menyediakan sistem pemantauan dan pelaporan ternakan pawah dengan lebih cepat, mudah dan sistematik serta mesra pengguna,” hurainya.