Home Kenyataan Media PAS Melaka

Penganjuran Amggrc Agenda Kristian Takluk Malaysia?

580
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI MELAKA
5 Jun 2017 | 10 Ramadan 1438

PENGANJURAN AMGGRC AGENDA KRISTIAN TAKLUK MALAYSIA?


1. Penganjuran “All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC)” di Calvari Live Assembly Chinese di Melaka pada pertengahan Jun ini merupakan satu petunjuk amaran dan ancaman terhadap keharmonian agama dan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan bagi negara Malaysia.

2. Program AMGGRC ini jelas mengandungi unsur doktrin gerakan Kristian untuk menakluk dan membangun Malaysia sebagai pemangkin Kristian dengan menjadikannya sebagai “Revival Catalyst Nations Golden Gate”. Selain turut berbaur hasutan dengan membangkitkan rasa permusuhan agama.

3. Malah, ia melibatkan kecenderungan kepada agenda dan pembangunan Israel yang dimaklumi adalah negara haram dan negara pengganas dunia, serta langsung tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Program ini juga mengundang tokoh-tokoh yang mendokong tujuan itu.

4. Selain itu, program ini melibatkan penggunaan, pergerakan, pertemuan dan dana terbuka yang boleh disifatkan mempengaruhi awam. Antaranya upacara doa di Menara Jam Melaka dan melancong ke negeri ini khususnya Muzium Laksamana Cheng Ho dengan pimpinan kerohanian khusus.

5. Demikian itu, kami melihat bahawa program ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan mencabar dan menentang Perlembagaan Negara serta Yang Di-Pertuan Agong. Juga boleh menimbulkan gugatan atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara khususnya melibatkan sentimen agama.

6. Sehubungan itu, kami memohon siasatan polis berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas seluruh penganjuran, perancangan dan rangkaiannya termasuk penglibatan tokoh-tokoh terbabit. Seterusnya kami memohon tindakan yang sah berteras undang-undang agar seluruh kegiatan berkaitan dihalang atau disekat atau diharam dari dilangsungkan atau memasuki negara ini.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka