Home Berita PAS Negeri Sembilan

Pena editor Negeri Sembilan | Perhimpunan ‘Keluar dan Lawan’ : Angkara PH

260
SHARE

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang bergelut dengan jumlah rakyat yang dijangkiti Covid-19. Semenjak semalam dan hari ini jumlah tersebut melebihi 17 ribu orang dan malahan beberapa hari lepas angka tersebut sudah berada di carta laporan Status Terkini Covid-19 Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun kebimbangan yang dihadapi oleh pihak kerajaan PN dan rakyat umumnya tidak dihiraukan oleh parti pembangkang apabila mereka telah menganjurkan demonstrasi ‘Keluar dan Lawan’ pada 31 Julai lalu bertempat di Dataran Merdeka.

“Kebebasan bersuara yang tidak kena pada tempat dan masa dengan jangkitan Covid-19 yang tinggi,” merupakan pandangan Timbalan Yang Dipertua PAS ( TYDP) Kawasan Rembau, Rozmal Malakan dalam sesi temubual Wartawan Rakyat ( WR) Negeri Sembilan mengenai penganjuran perhimpunan tersebut.

Beliau menyifatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menyokong dan juga hadir dalam perhimpunan haram ‘Keluar dan Lawan’ itu tidak mengikuti perkembangan semasa mengenai bahayanya penularan Covid-19 samada di dalam atau luar negara.

Walaupun peserta perhimpunan memakai pelitup muka bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun situasi penjarakan sosial tidak dipatuhi sewaktu perjalanan daripada Transit Aliran Ringan (LRT) menuju ke Dataran Merdeka, seperti yang dilapor Bernama pada 31 Julai lalu.

Pelanggaran SOP oleh peserta perhimpunan haram ini dijangka bakal membawa akibat lebih teruk kepada penularan wabak Covid-19 memandangkan varian Delta mampu berjangkit dalam tempoh yang sangat singkat.

Sebagai penganjur perhimpunan, PH juga perlu dipersalahkan apabila hantaran video yang tular di media sosial menyaksikan kebiadaban anak-anak muda yang menunjukkan isyarat jari tengah sebagai simbol lucah serta mengeluarkan kata-kata kesat selain tidak mematahui SOP.

Rozmal juga menyatakan kekesalan dengan kebiadaban kelakuan anak muda semasa perhimpunan itu.

“Nampak jurang perbezaan yang ketara antara generasi tua dan remaja di negara ini dan kita perlu dampingi golongan ini untuk bimbing mereka,” ujar Rozmal lagi.

Penulis tertarik untuk mengaitkan kata-kata tersebut dengan Catatan Dhuha Senator Ustaz Idris Ahmad dalam laman Facebook beliau bertarikh 29 Julai 2021 yang berbunyi:

“Orang muda belum pernah menjadi orang tua. Tetapi orang tua sudah biasa menjadi orang muda. Orang tua kena beri peringatan kepada orang muda, ada teladan dan sempadan yang perlu dijaga”

Pemimpin PH gagal memberi teladan yang baik kepada anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara di masa akan datang. Mereka terlupa di dalam keghairahan berhimpun membantah kerajaan, ada adab dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) Pelan Pemulihan Negara 2021 melarang sebarang perhimpunan sosial, keagamaan dan sukan.

Jelas, perhimpunan ‘Keluar dan Lawan’ merupakan perhimpunan haram kerana menyalahi undang-undang kerajaan. Siasatan pasti akan diambil bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab menganjurkannya dibawa ke muka pengadilan.

PH didapati mengabaikan slogan yang terpapar di Portal Rasmi Kementerian Kesihatan MALAYSIA (KKM) ‘Bersama hentikan wabak Covid-19’, sebaliknya telah mempamerkan keegoan sikap parti itu yang tidak langsung menghormati arahan kerajaan dan sesitiviti rakyat.

“Beberapa saranan penting yang mesti dilakukan oleh semua warganegara dalam melawan penularan wabak Covid-19 iaitu dengan mematuhi SOP sepanjang masa terutamanya memakai pelitup muka kerana varian Delta sangat merbahaya serta pantas berjangkit walaupun sudah menerima vaksin” kata TYDP Kawasan Rembau itu lagi.

Katanya lagi, rakyat perlu mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat untuk meningkatkan ketahanan badan bagi melawan penyakit Covid-19.

Mengakhiri temu bual bersama WR Negeri Sembilan itu beliau menyatakan harapan agar semua peserta perhimpunan perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari untuk mengekang sebarang penularan wabak ini dalam komuniti.

Apakah akan wujud kluster baharu ‘Kluster Keluar dan Lawan’ angkara PH dalam waktu terdekat?

RUSILAH BINTI MD. SOM
EDITOR
Berita PAS dan WR
Negeri Sembilan