Home Uncategorized

Pemuda PAS Kedah temui Pergerakan Pemuda UMNO Kedah

447 views
SHARE

ALOR SETAR – 19 Mei 2019: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah dan Pergerakan UMNO Negeri Kedah secara rasmi mengadakan perjumpaan bersama kali pertama melalui kunjungan mahabbah Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah ke Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di Alor Setar.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid, berkata kunjungan tersebut dihadiri 15 Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri termasuk timbalan dan Naib Ketua.

“Pergerakan pemuda UMNO Negeri yang menerima kunjungan kami diketuai Ketua Pemuda Tuan Mohd Fadzil Zulkifli dan 10 ahli jawatankuasanya”

“Perjumpaan ini hasil daripada usul yang telah diluluskan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di Baling baru-baru ini iaitu usul supaya “ta’awun” antara Pemuda PAS dan UMNO diperkasakan, dengan mengambil kira usul ini saya dan rakan-rakan exco pemuda PAS Kedah membuat keputusan untuk mengadakan perjumpaan mahabbah ini, perjumpaan ini tiada agenda khusus dibincangkan dan semua diberikan ruang untuk melontarkan pandangan dan berkongsi pengalaman. Sesi soaljawab juga terbuka dengan suasana ceria dari kedua-dua belah pihak.

“Semua perbincangan yang berlangsung menjurus kepada persetujuan memperkasakan hubungan pemuda UMNO dan PAS Kedah dalam bentuk program yang merapatkan silaturahim. Nampaknya perkembangan yang berlaku sangat baik dan kita bersetuju akan mengadakan perjumpaan secara berkala,” katanya.

Nurul Amin juga berkata, pertemuan membabitkan pemuda UMNO-PAS, akan dipanjangkan kepada komponen BN seperti pemuda MIC dan pemuda MCA.

Beliau juga berkata, rombongan delegasi pemuda PAS tertumpu bagaimana mencari persefahaman dan mengurangkan perbezaan antara pemuda UMNO-PAS bagi menghadapi tentangan Pakatan Harapan (PH) dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan agenda anak muda penentu kepada kemenangan pembangkang.

“Maklum balas kedua-dua pihak sangat baik, kita akan minta semua pergerakan pemuda UMNO bahagian dan pemuda PAS kawasan untuk perkasakan kerjasama dan silaturahim antara pemuda UMNO-PAS di setiap Parlimen dan mereka akan duduk dan bincang bagi cari titik pertemuan dan persamaan.

“Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pergerakan pemuda UMNO negeri Kedah di atas kesudian menerima kunjungan kami dan mengadakan perjumpaan mahabbah ini, ini bukan perjumpaan buat kali pertama dan terakhir, insha allah pergerakan pemuda UMNO negeri Kedah akan berkunjung balas ke Pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah selepas hari raya ini,” katanya.