Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Pelantikan Perdana Menteri ke-8 : PH Jangan Derhaka YDP Agong

3329
SHARE

 

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Pelantikan Perdana Menteri ke-8 : PH Jangan Derhaka YDP Agong

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersyukur dengan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangani kemelut politik negara.

Pelantikan Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 menenangkan rakyat Malaysia yang resah dengan pergolakan dan krisis yang berlaku.

Namun kebijaksanaan Baginda Tuanku ini telah dicabar oleh Pakatan Harapan yang kononnya mendakwa mendapat suara majoriti ahli parlimen yang menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-8.

Jika sebelum ini negara dikejutkan dengan perebutan jawatan Perdana Menteri yang membawa kepada polemik hari ini, disusuli dengan ‘u-turn’ dan ‘flip flop’ Pakatan Harapan sepanjang proses pelantikan Perdana Menteri, mereka juga lah yang membuat onar seolah mencabar keputusan yang telah dibuat Yang di-Pertuan Agong.

Hakikatnya selama tujuh hari negara mengalami krisis politik, Yang di-Pertuan Agong telah menggunakan budi bicara dengan begitu teliti bagi menyelesaikan isu ini dalam masa yang sama menjaga keamanan negara daripada sebarang tindakan luar kawalan oleh rakyat yang boleh mendatangkan kekecohan.

Jika benar Pakatan Harapan ingin mencabar keputusan ini, PAS menggesa Pakatan Harapan untuk menggunakan saluran yang dibenarkan oleh undang-undang seperti mengusulkan undi tidak percaya di parlimen.

Jangan bertindak diluar batasan perundangan sehingga sanggup menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menjunjung Kasih Tuanku.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
1 Mac 2020 | 6 Rejab 1441H