Home Khas

PAS tegaskan tiada kerjasama dengan PH hadapi PRU15

403
SHARE



KENYATAAN MEDIA

PAS TEGASKAN TIADA KERJASAMA DENGAN PH HADAPI PRU15

PAS Pusat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian yang diadakan pada 29 Ogos 2022 antara lain telah memutuskan bahawa:

1) PAS tetap mengutamakan konsep Penyatuan Ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya;

PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia;

2) PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’;

3) Kerajaan Negeri-negeri yang diterajui oleh PAS tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac 2023 atas dasar buat masa ini penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain dari kesihatan;

4) PAS mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 30 Ogos 2022.