Home Artikel PAS Kelantan

PASCA MASZLEE : PENDIDIKAN TINGGI AWAM TANPA YURAN?

1184
SHARE

1. Beberapa hari lepas, Menteri Pendidikan YB Dr Maszle Malik mengumumkan penyerahan semula jawatan tersebut kepada Perdana Menteri. Dalam perkataan lain yang lebih mudah, ia adalah satu peletakan jawatan. Saya sendiri ketika berwacana di Sinar Harian 27 Julai 2018 bersama-sama YB Ahli Parlimen Hulu Langat dan SS Mufti Perlis menyatakan dengan jelas bahawa jika ada mana-mana menteri didesak letak jawatan (saya maksudkan pada masa itu Menteri Pendidikan yang dihentam oleh DAP ekoran kenyataannya berhubung peruntukan kepada sekolah persedirian Cina), mereka tidak wajar tunduk bahkan perlu terus memegang jawatan hingga ke akhir penggal. Bagaimanapun, akhirnya beliau memilih untuk berundur sebagai mematuhi permintaan (baca : arahan) Perdana Menteri.

2. Saya tidak berhasrat mengulas lanjut polemik itu. Isu yang saya ingin saya sentuh ialah apakah pakej tawaran pendidikan untuk rakyat selepas era Maszlee ini? Adakah Kementerian Pendidikan atau Pengajian Tinggi (jika diasingkan) mampu melaksanakan program pendidikan tinggi percuma bagi seluruh rakyat Malaysia? Menteri Pendidikan sebelum ini buat sekian kalinya mengulangi komitmen untuk menawarkan pendidikan tinggi percuma pada bulan Oktober lalu di Dewan Rakyat. Dalam sesi soal jawab, beliau menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan sedang di peringkat akhir untuk meneliti mekanisme terbaik untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma dan ia dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

3. Jika di dalam artikel saya sebelum ini berhubung perkhidmatan awam, saya mengutarakan isu ‘downsizing’, skim perkhidmatan dan persaraan baharu. Berdasarkan kepada pelbagai isu tersebut, kita dapati bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mampu untuk menanggung beban kewangan yang melibatkan bayaran emolumen dan persaraan yang menjangkau kira-kira RM110 bilion setahun atau 55% daripada Perbelanjaan Mengurus tahunan.

4. Saya tidak menaruh harapan tinggi. Namun sekurang-kurangnya ia adalah azam tahun baharu 2020 yang bakal direalisasikan. Jika makanan percuma di sekolah dan skim pembantu guru dapat dilaksanakan dengan efektif, maka saya optimis pendidikan tinggi percuma juga akan berjaya. Bagi peringkat awal, saya akan menyokong pelan Kementerian Pendidikan untuk menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada golongan OKU dan asnaf B40 pada tahun 2020. Ia adalah ‘pilot project’ untuk tawaran pendidikan percuma secara keseluruhan.

5. Hakikatnya, Kerajaan Persekutuan sendiri sedang memikirkan bagaimana membiayai baki 10% lagi kos pengajian setiap pelajar di universiti awam. Berdasarkan kenyataan pihak kerajaan sendiri sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah mensubsidi kira-kira 90% kos pengajian selama ini. Jadual 1 menunjukkan kadar yuran pengajian di universiti awam dan universiti swasta secara rawak. Kadar tersebut adalah yuran yang telah disubsidi oleh Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk kos penginapan, kos sara hidup dan perbelanjaan lain.

6. Berdasarkan data Taburan Graduan Mengikut Penaja Pengajian seperti yang diterbitkan dalam Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2017, daripada 134,000 pelajar universiti awam, sebanyak 49% daripadanya ditampung oleh pinjaman PTPTN, 32% secara persendirian, 13.4% ditaja oleh institusi tertentu seperti MARA, JPA, Khazanah, BNM, PETRONAS, yayasan, Majlis Agama Islam Negeri dan selebihnya adalah lain-lain. Sekiranya, seluruh pelajar (134,000) diberikan yuran pendidikan tinggi percuma dengan purata RM10,000 seorang (kos yuran 10%), maka Kerajaan Persekutuan memerlukan RM1.34 bilion peruntukan tambahan lagi.

7. Timbalan Menteri Pendidikan memaklumkan di Dewan Rakyat, purata jumlah peruntukan dana PTPTN setiap tahun dalam lingkungan RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun untuk menampung kira-kira 180,000 peminjam baharu. Saya optimis Kerajaan Persekutuan mampu untuk menampung baki 10% kos yuran pengajian tinggi ke universiti awam setiap tahun. Jika negara Scandinavia seperti Denmark, Norway dan Finland mampu menawarkan pengajian tinggi percuma dengan kenaan cukai pendapatan sehingga 55%, saya yakin Malaysia tidak perlu menaikkan kadar cukai untuk merealisasikan sasaran yang mulia ini.

Persoalan seterusnya, apakah mekanisme terbaik untuk membiayai baki 10% kos yuran pengajian tersebut?

8. Peruntukan Kementerian Pendidikan dalam Belanjawan 2020 ialah RM64 bilion, meningkat RM4 bilion berbanding tahun 2019. Ia adalah 21% daripada jumlah peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, jumlah untuk operasi pendidikan tinggi, tidak termasuk politeknik dan kolej komuniti ialah lebih kurang RM8.8 bilion setahun. Saya tidak pasti di mana perincian bagi butiran subsidi 90% yuran pendidikan tinggi dalam belanjawan, tetapi jika diambil secara kasar, maka kita memerlukan peruntukan tambahan sekitar RM1.5 bilion untuk menampung 10% yuran berkenaan.

9. Selain menggunakan peruntukan langsung daripada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Pendidikan juga telah menerbitkan beberapa dokumen khas untuk mentransformasi universiti awam pada tahun 2016. Salah satu daripada dokumen tersebut adalah Buku Ungu Program Transformasi Universiti (UniTP Purple Book) yang bertemakan ‘Enhancing University Income Generation, Endowment and Waqf’. Buku Ungu ini bertujuan untuk mengeksplorasi ruang bagi mengukuhkan kelestarian kewangan sistem pengajian tinggi negara.

10. Jadual 2 menunjukkan perancangan utama Kementerian Pendidikan. Asasnya, universiti awam menjana pendapatan daripada dua sumber aliran kewangan. Pertama, peruntukan Perbelanjaan Membangun, manakala yang kedua adalah yuran pengajian pelajar. Sasaran seterusnya adalah mengaktifkan sumber aliran kewangan ketiga menerusi aktiviti komersialisasi, perolehan geran, endowmen serta wakaf. Sebahagian besar fokus penjanaan pendapatan universiti awam adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dana kerajaan.

11. Saya meneliti UniTP Purple Book khususnya Bab Kedua mengenai endowmen dan Bab Ketiga mengenai Wakaf (Wakaf@UA). Dalam kedua-dua bab tersebut telah menerangkan secara terperinci konsep, model dan cadangan pelaksanaan cuma sejauhmanakah universiti awam telah memulakan langkah berikut? Bagi saya, kaedah yang telah digariskan adalah munasabah dan jika ia dimulakan dengan agresif, maka hasilnya telah boleh dituai. Tidak sedikit juga penulisan jurnal akademik telah dihasilkan untuk menilai ‘feasibility’ endowmen dan wakaf di universiti awam.

12. Universiti ternama dunia yang berdiri atas konsep wakaf adalah Universiti al- Azhar (Mesir), Universiti Cordova (Sepanyol), Universiti al-Qarawiyyin (Moroko) dan Universiti al-Fateh (Turki). Sementara itu, universiti yang dibangunkan atas konsep endowmen seperti Universiti Harvad dan Universiti Yale (Amerika), Universiti Oxford dan Universiti Cambridge (United Kingdom) dan Universiti South Africa (Afrika). Di Malaysia juga, banyak institusi pendidikan sejak awal tahun 1990-an dibina atas usaha wakaf dan infak rakyat.

13. Sekolah Agama Arab Al-Masriyyah (Pulau Pinang), Maktab Mahmud (Kedah) dan Kolej Islam Malaya (Selangor) antara institusi yang bermula dengan wakaf tanah. Kemudian, wakaf pendidikan juga sudah bermula di peringkat universiti seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (Terengganu), Universiti Islam Malaysia (Cyberjaya) dan Kolej Universiti Islam Perlis (Perlis). Di UIAM, satu institusi khas ditubuhkan pada tahun 1999 untuk mengatasi masalah kewangan para pelajar yang dinamakan IIUM Endowment Fund.

14. Menurut Prof Madya Dr Aminah Md Yusof (Timbalan Dekan, Sekolah Pengajian Siswazah, UTM), jumlah keseluruhan endowmen bagi 20 universiti awam pada tahun 2017 sudah mencecah RM1.85 bilion. Walaupun ia baru bermula, namun pencapaian itu sangat memberansangkan. Masih belum tiba masanya untuk bersaing dengan gergasi dunia seperti Universiti Harvard (USD38 bilion) dan Universiti Texas System (USD30 bilion). Hal ini menunjukkan bahawa inisiatif pembangunan endowmen dan wakaf sudah mula dirintis namun tidak semua dana tersebut digunakan untuk membiayai yuran pengajian pelajar.

15. Konklusinya, Kementerian Pendidikan harus fokus kepada satu perkara untuk satu masa iaitu menyerap sepenuhnya 100% kos yuran pengajian tinggi setiap pelajar di universiti awam. Secara kasar, kita memerlukan peruntukan tambahan lebih kurang RM1.5 bilion setahun. Kurangkan kebergantungan kepada PTPTN yang menjerut pelajar dan bersama menggembleng azam tahun baru 2020 dengan ‘free higher education fees’. Tidak perlu bermula dengan ‘scratch’ kerana kita sudah mempunyai fundamental yang jelas khususnya dengan merujuk UniTP Purple Book.

Ahmad Fadhli Shaari
Ahli Parlimen Pasir Mas

6 Januari 2020

Sumber: https://www.facebook.com/ahmadfadhli1980/posts/10155821837514567