Home Berita PAS Kelantan

KERAJAAN NEGERI KELANTAN SEDIA KE LAUTAN HIJAU

1316
SHARE

oleh Norzana Razaly

Permulaan tahun 2020 menjelma diserikan oleh pengumuman YAB Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Hj, Ahmad Yakob mengenai Strategi Lautan Hijau di dalam Amanat Khasnya kepada penjawat awam Negeri Kelantan di Dewan Jamuan Utama, Kota Darul Naim pada 2 Januari 2020.

Setelah berjaya mempraktikkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) melalui amalan pentadbiran cemerlang, berhemah dan berintegriti sehingga memperolehi perbelanjaan surplus selama tiga tahun berturut-turut berpandukan ibrah sirah Nabi Allah Yusuf alaihissalam di mana pimpinan ulama teknokrat Negeri Tadahan Wahyu ini secara bijaksana merumuskan formula kejayaan secara tersendiri beracuan Kelantan Darul Naim – negeri nyaman dan makmur dek menikmati keberkatan.

Berdasarkan keyakinan teguh kepada Allah, formula pertama penyelesai kemelut ekonomi ialah mentadbir-urus negeri dengan agenda ‘Merakyatkan Membangun Bersama Islam’ yang diterapkan sejak Mei 2013, berdasarkan Pelan Strategik ‘Kelantan Melangkah Ke Hadapan’ (KMK 2016 – 2025).

Kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam melaksanakan perbelanjaan berhemah secara bersepadu terbukti mengundang keberkatan dengan lonjakan graf pencapaian Kelantan memperolehi lebihan (surplus) perbelanjaan sebenar (actual vs budget) pada tahun 2019 sebanyak RM45 juta berbanding tahun terdahulu, 2018 dengan lebihan RM40.4 juta manakala tahun 2017 berlebihan RM38.2 juta sahaja.

Pencapaian terbaik secara “hatrik” merekodkan lebihan selama tiga tahun berturut-turut tersebut sekaligus menyangkal tohmahan umum dan membuatkan Menteri Kewangan Malaysia terpaksa menarik balik kenyataannya, “Kelantan sebuah negeri yang gagal dan muflis, dan tidak mampu mengurus ekonomi dengan baik”.

Formula kedua ialah usaha luar biasa secara berpasukan melibatkan penjawat awam, NGO, sektor swasta dan rakyat keseluruhan. YAB Menteri Besar Negeri Kelantan menggariskan beberapa misi dan halatuju yang ingin dicapai dalam tempoh 5 tahun melalui Strategi Lautan Hijau.

“Empat daripadanya telah pun dicapai melalui Strategi Lautan Biru. Hanya 1 Tahap lagi untuk mencapai pelaksanaan Strategi Lautan Hijau iaitu Tahap 5 Lautan Hijau: Tahap Realisasi yang Berdaya Saing.

“Peralihan dari Tahap 4 Strategi Lautan Biru ke Tahap 5 Strategi Lautan Hijau boleh dicapai melalui keterlibatan rakyat dalam inovasi projek, produk dan perkhidmatan yang mampan”, katanya.

Strategi Lautan Hijau melibatkan integrasi antara tiga elemen saling berhubung-kait yakni Nilai Sosial, Nilai Ekonomi dan Nilai Alam Sekeliling sejajar dengan agenda pembangunan lestari dan mengambil pendekatan penambahbaikan (islah) meliputi empat teras utama melalui Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan (PMK 2019-2023) meliputi aspek:

1. Ekonomi dan Inovasi – Strategi pertumbuhan hijau (Bandar Baru Tunjong, Kawasan Khas Tok Bali, Industri Bio-Plastik Kelantan, Infrastruktur Big Data dan Revolusi Industri 4.0)

2. Sosial – Kualiti hidup rakyat dan komuniti hijau (Kelantanku Bersih, Pendidikan dan Kebajikan).

3. Alam Sekitar – Kelestarian sumber alam dan pengurangan impak perubahan iklim (Pelancongan Hijau Lojing, Taman Pemeliharaan Rafflesia, kawalan Hutan Simpan Kekal).

4. Urus Tadbir – Pengurusan pintar bagi meningkat prestasi dan integriti (Sistem Penyampaian Kerajaan Digital, Kelantan Pay, E-Nikah, E-Qaryah, Portal Sistem Hasil Tanah).

Empat tonggak utama inilah pemangkin visi Kelantan menjadi sebuah negeri yang sentiasa dilimpahi Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan selari dengan dasar Membangun Bersama Islam melalui amalan pembangunan mampan sebagaimana mafhum surah al-A’raf ayat 96: “Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi; tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

Syabas dan tahniah kepada rakyat Negeri Kelantan yang bijaksana memilih saf pimpinan yang amanah dan berdedikasi untuk diserahkan tanggung jawab menerajui Negeri Kelantan bersumberkan ilmu Islam yang memandu ke arah kemajuan pembangunan mampan seperti gagasan al-Farabi tentang kepentingan kesatuan (ta’awun), kebahagian (al-sa’adah), masyarakat unggul (insan al-kamil) dan pemimpin bijaksana dan adil (al-Umara) sebagai falsafah pembangunan negara.- UPKN KELANTAN 5/1/2020

Sumber: http://upknkelantan.com/kerajaan-negeri-kelantan-sedia-ke-lautan-hijau/