Home Khas

PAS menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk beri tumpuan utama hadapi Covid-19

314
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
PAS MENJUNJUNG KASIH TITAH KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA-RAJA MELAYU UNTUK BERI TUMPUAN UTAMA HADAPI COVID-19
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjunjung kasih ke hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang mengambil perhatian berat terhadap usaha menghadapi pandemik COVID-19 dan menjaga kebajikan rakyat.

Tindakan yang diambil oleh Baginda Tuanku bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik dan mendengar taklimat dari agensi-agensi Kerajaan, menunjukkan bahawa Baginda Tuanku amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara. Ini turut membuktikan Institusi Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik.

PAS menyanjung tinggi titah pandangan Baginda Tuanku yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak ini dan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan daripada wabak ini.

PAS juga menjunjung tinggi titah pandangan Tuanku agar kerajaan segera mengadakan sidang parlimen, mempercepatkan pemberian vaksin serta penting adanya kerajaan yang stabil dan kukuh berfungsi dengan efektif menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. PAS melihat perkara ini adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini.

PAS yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari. Ia sebagai kayu ukur dalam mencapai target 80% rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini. Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, PAS melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik.

PAS juga meyakini bahawa titah pandangan Baginda Tuanku berkenaan sidang parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen sebagaimana juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Keprihatinan Baginda Tuanku dan seluruh Duli-Duli Raja-Raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak COVID-19.
Menjunjung Kasih Tuanku
Daulat Tuanku
‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
YB. Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
18 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 1442