Home Minda Presiden

Normalisasi Yang Tidak Normal

1405
SHARE

Minda Presiden PAS

NORMALISASI YANG TIDAK NORMAL


Normalisasi berasal daripada perkataan normal yang bermaksud menurut aturan, keadaan, atau pola yang lazim. Apabila diubah kepada perkataan normalisasi, maka ia bermaksud menjadikan sesuatu yang tidak normal supaya menjadi normal melalui beberapa perubahan. Kadang-kadang dipaksakan menjadi normal sehingga prosesnya tidak istiqamah (konsisten) yang berakhir dengan kemusnahan.

Dalam Bahasa Arab disebut تطبيع (tatbi’e), apabila dijadikan dan diubah sesuatu itu daripada keadaan asal yang bersifat طبيعي (tabii) kepada bentuk lain daripada sifat yang azali.

Secara normal, alam semesta yang asal sentiasa berubah dan boleh menerima perubahan tetapi perlu diketahui juga bahawa bukan semua perkara boleh diubah, kerana ada perkara tabii yang asasi tidak mungkin sesekali dapat diubah.

Jika diubah secara paksa akan membawa kepada kemusnahan, laksana merobohkan asas sebuah bangunan yang telah kukuh atau mencabut tiang serinya kerana semata-mata mahu membuat perubahan. Bangunan itu akan roboh dan terpaksa ditukar menjadi bangunan lain yang baharu dengan asas atau tiang lain. Ini menunjukkan bahawa perubahan itu ada baik dan buruk, yang wajib dipertimbangkan dengan akal yang sihat dan waras.

Ada juga perkara yang mustahil diubah pada adatnya. Contohnya, apabila dipaksa seekor ikan yang naluri hidup di kawasan air dipaksa supaya hidup di daratan, atau lembu dan kambing diternak di dalam air. Nescaya semua akan mati, segala usaha seperti ini adalah perbuatan yang sia-sia.

Bahkan muka bumi yang luas sekalipun, sekiranya dipinda tanpa perancangan yang betul dan diubah keadaannya yang normal, boleh merosakkan alam sekitar, apatah lagi dengan tujuan yang jahat dan terlampau zalim. Sehinggalah menyebabkan bencana alam yang besar dan merosakkan kebanyakan makhluk lain yang pasti berlaku.

Kita menyaksikan projek-projek besar yang menarah bukit-bukau, menebang pokok dan menimbus tadahan air tanpa kawalan atas nama pembangunan yang dikatakan untuk kemajuan negara, pada akhirnya akan membawa kepada kemusnahan.

Banyak bahan buangan boleh diproses dengan baik sehingga boleh digunakan semula, tetapi kalau dilakukan sesuka hati tanpa cara yang betul, akan bertukar menjadi mudarat yang merosakkan alam sekeliling dan membawa bencana besar kepada manusia itu sendiri.

Perkataan normalisasi dalam politik kini dipakai bagi mewujudkan perdamaian dengan negara yang dinamakan Israel, sebuah negara yang ditubuhkan secara haram dengan paksaan pada tahun 1948. Kedudukan negara itu di tengah-tengah wilayah dan negara Arab.

Kekerasan dan penindasan dilakukan bagi mewujudkan negara haram itu, sehingga rumah kediaman penduduk asal dirobohkan. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang dibunuh dan dihalau keluar daripada tanah air sendiri. Apatah lagi tanah suci Baitul Maqdis telah dirampas untuk dijadikan milik Yahudi yang kononnya secara aman, tetapi pada hakikatnya secara pemaksaan.

Sebenarnya apa yang mereka lakukan adalah satu tindakan yang zalim kerana melakukan perkara yang salah bukan pada tempatnya.

Bangsa Yahudi merampas hak daripada pemiliknya yang sebenar supaya diberikan kepada mereka yang tidak berhak mengikut hukum Allah Tuhan Pencipta Alam.

Bangsa Yahudi sudah tidak layak menjaga bumi para anbiya’ AS, kerana dosa mereka yang terdahulu dan berterusan, termasuklah mereka pernah membunuh para anbiya’, ulama’ dan orang-orang yang soleh.

Walaupun para ulama’ yang bersedia menerima upahan telah dibayar agar berfatwa membetulkan tindakan yang salah itu supaya dinormalisasikan hubungan dengan Israel, namun tindakan dan langkah itu tidak mengikut adat dan adab, bahkan bercanggah dengan ketetapan Allah SWT.

Kumpulan Zionis Yahudi secara normal tidak berubah sama sekali daripada sifat asalnya yang menjadi makhluk perosak. Keadaan yang berlaku akan menyegerakan kemusnahan mereka pada akhir zaman yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada Bani Israel (bangsa Yahudi). Allah SWT berfirman berkenaan hal tersebut:

﴿إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا٧﴾

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (Baitul Maqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra’: 7)

Maka langkah normalisasi terhadap Negara Israel kononnya atas nama tujuan keamanan dan keselamatan negara serantau dan dunia adalah tindakan yang sia-sia. Bahkan mereka yang bersama dalam usaha itu akan menempah kemusnahan sendiri bersama Yahudi, laksana berlindung di sebalik tembok yang akan runtuh apabila tiba masanya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka tembok itu akan menghempap apa-apa sahaja yang berlindung di bawah naungannya, bukannya memberi perlindungan kepada mereka.

Di samping al-Quran dan Hadis, cerita tentang kemusnahan bangsa Yahudi pada akhir zaman turut disebutkan oleh kalangan Yahudi bermazhab Ortodoks yang dinamakan Neturei Karta. Mereka yakin bahawa penubuhan Negara Yahudi yang bernama Israel adalah haram dan kelak akan menyebabkan kemusnahan mereka sendiri.

Adapun mereka yang berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah berdamai dan mengadakan perjanjian damai dengan Yahudi di Madinah adalah tidak relevan dan salah dalam memahami Sirah Nabawiyah secara sempurna.

Hakikatnya Rasulullah SAW telah menerima mereka hidup di Madinah dalam masyarakat majmuk bersama umat Islam pada awalnya kerana bertujuan dakwah. Mereka menunggu kelahiran Rasul akhir zaman yang telah disebutkan di dalam kitab suci mereka, maka hati mereka dijinakkan sehingga Allah SWT menghalalkan sembelihan dan mengahwini wanita mereka.

Bangsa Yahudi telah berjanji dengan semua rasul daripada bangsa mereka, bahawa mereka akan beriman dan berjuang bersama para rasul tersebut. Namun mereka tidak setia dengan semua perjanjian, bahkan ramai dalam kalangan rasul yang dibunuh dan pernah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW serta menjatuhkan Kerajaan Madinah.

Justeru itu, tindakan keras telah diambil oleh Rasulullah SAW sehingga menghalau mereka keluar daripada Negara Islam apabila mereka melanggar setiap perjanjian yang telah dimeteraikan, serta melakukan langkah mengadakan permusuhan terhadap Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehingga hari kiamat. Maka laknat terhadap mereka terus diucapkan sehingga dilafazkan doa berulang kali dalam setiap rakaat solat supaya umat Islam tidak terpengaruh dengan mereka.

Perkara tersebut menunjukkan betapa makhluk perosak ini tidak akan pernah berubah sama sekali, bahkan Allah SWT dan RasulNya telah menjanjikan riwayat hidup mereka akan tamat sewaktu di alam dunia lagi sebelum berlaku hari kiamat. Maka tindakan melakukan normalisasi terhadap Israel mengikut acuan Barat hakikatnya menempah kemusnahan, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW terhadap bangsa Yahudi.

Janji Allah SWT dan Rasululullah SAW sebagai balasan terhadap mereka kerana melakukan kejahatan dan merosakkan dunia yang adil dan aman di sepanjang zaman.

Allah berfirman:

﴿وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنْفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٦٤﴾

“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil atau kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (ni’mat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Dia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Dia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Ma’idah: 64)

Walaupun mereka dilindungi oleh semua kuasa besar dunia, namun semuanya tidak akan mampu untuk mengatasi kekuasaan Allah SWT yang telah dijanjikan. Bahkan kuasa besar dunia itu kelak akan mengalami kejatuhan satu demi satu. Perkara ini telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya menerusi satu hadis berikut:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّيْنِ ظَاهِرِيْنَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِيْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ. وَهُمْ كَذَلِكَ”، قالوا: “يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟” قال: “بِبِيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

“Masih ada di kalangan umatku kumpulan yang menegakkan agama (Islam), mereka gagah perkasa menghadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh orang yang menentang (atau mengecewakan), melainkan sekadar kumpulan itu menghadapi kesulitan, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka terus tidak berganjak. Lalu para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah mereka itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320)

Mereka yang mendapat janji Allah SWT dan Rasululullah SAW pada akhirnya pasti akan beroleh kemenangan. Percayalah bahawa kumpulan normalisasi yang mengecewakan rakyat Palestin akan merasa kecewa dan menyesal di kemudian hari yang tiada berguna lagi.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Muharram 1442 / 15 September 2020