Home Berita PAS Kelantan

Muzium 3D Kota Bharu pertama, terbesar di Pantai Timur

61
SHARE

KOTA BHARU, 28 September: Kota Bharu 3D Art & Heritage Centre (KB3D) di Tingkat 1, Bazar Tengku Anis ialah pusat kesenian dan warisan berasaskan lukisan tiga dimensi (3D) yang pertama dan terbesar di Pantai Timur.

KB3D diwujudkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan dibuka kepada orang ramai sebagai nilai tambah untuk menarik kehadiran pelancong ke Bazar Tengku Anis.

Fasa pembinaan pertama bermula dengan keluasan keseluruhan bersaiz 12,000 kaki persegi yang mempamer 45 galeri dan menyediakan kemudahan letak kereta yang luas, tangga bergerak, permandangan yang cantik, ruang menunggu, kaunter tiket, tandas pengunjung yang bersih dan galeri jualan.

Projek yang memberi pendedahan kepada komuniti untuk melihat lebih dekat seni 3D itu menjadi tumpuan pelancongan dalam dan luar negara, pelajar sekolah serta peminat seni itu beroperasi pada setiap hari bermula pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang dengan tiket RM10 bagi kanak-kanak dan pelajar sekolah serta RM20 untuk dewasa.

Muzium seni itu turut menerima kunjungan delegasi Pejabat Penyelidikan dan Inovasi (UiTM) yang diketuai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Ts Dr Norazah Abd Rahman, Pengarah Research Nexus UiTM (ReNeU) Prof Dr Nooritawati Md Tahir dan Timbalan Pengarah (Impak) Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Nor Azura Md Ghani, semalam.

Sehari sebelum itu, KB3D juga meriah dikunjungi rombongan pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Panau, Tanah Merah yang teruja melihat mural tiga dimensi yang bertemakan seni, budaya dan warisan Kelantan.