Home Berita PAS Kelantan

Menteri Kerja Raya setuju baiki segera jalan Jeli-Dabong

31
SHARE

KUALA KRAI, 15 Ogos: Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof bersetuju dan meluluskan segera permohonan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latif Abdul Rahman untuk membaiki beberapa lokasi jalan di Dabong yang rosak dan membahayakan pengguna.

YB Abdul Latif menyifatkan hal tersebut satu berita gembira untuk rakyat Dabong dan kawasan sekitar. Katanya, Dato’ Sri Fadillah bersama rombongan yang terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi berkaitan sempat melihat dan melalui sendiri jalan FT066 khususnya jalan Jeli-Jelawang- Dabong.

“Terima kasih kepada Dato’ Sri Fadillah dan rombongan yang bertindak segera turun padang untuk meninjau keadaan jalan raya di Dabong sebaik sahaja permohonan dibuat,” ujarnya.

Beliau bersyukur kerana berbaloi beliau menolak pemilihan untuk menyertai lawatan kerja rasmi Parlimen Malaysia ke India iaitu Delegasi Asean Inter-Parliamentary Association (AIPA) yang dijadualkan bermula 10 Ogos hingga 14 Ogos 2022 apabila diberitahu Menteri Kanan Kerja Raya mahu turun ke Kuala Krai dalam program FT Roadpedia KKR.

Tambahnya, dua hari lawatan penuh ke Kelantan termasuk dua lokasi di Kuala Krai pada 12 dan 13 Ogos itu amat bermakna kerana beberapa masalah kerosakan jalan di Dabong dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

YB Abdul Latif turut berterima kasih kepada Jurutera JKR Jajahan Kuala Krai Ir Hafifi Hafidz atas kerjasama dan komitmen pasukannya demi keselesaan rakyat.