Home Berita PAS Kelantan

Karnival Keluarga Darulnaim bermula di Jeli

32
SHARE

JELI, 4 Ogos: Seiring gagasan baharu Keluarga Malaysia sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Kelantan melancarkan Karnival Keluarga Darulnaim yang bertujuan menghidupkan suasana meriah dalam kehidupan berkeluarga sesuai dengan dasar Keluarga Mawwadah Negeri Kelantan.

“Dalam dasar ini, kita mahukan bukan hanya keluarga yang biasa, tetapi keluarga qurani yang dibentuk dengan mengambil contoh dan panduan daripada keluarga-keluarga yang diceritakan di dalam al-Quran seperti kisah keluarga nabi Yaakub, nabi Yusuf, nabi Daud, nabi Ibrahim dan banyak lagi.”

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi dalam ucapan Perasmian Karnival Keluarga Darulnaim, Parlimen Jeli di Gunung Reng, semalam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Jeli, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Urus Setia Kebajikan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) kerana memilih parlimen Jeli sebagai destinasi pertama untuk penganjuran Karnival Keluarga Darulnaim.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata keluarga adalah asas kepada kekuatan ummah, masyarakat, negara dan dunia, runtuhnya keluarga, maka runtuhlah segala-galanya.

Program yang mendapat sambutan lebih 1,000 peserta daripada penduduk setempat itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, konvoi, jamuan dan forum keluarga dengan menampilkan selebriti daripada kumpulan UNIC, Ahmad Fadzli Abdul Aziz.