Home Berita PAS Pahang

Mangsa ribut di Chenor diziarahi wakil rakyat

69
SHARE

Oleh: ASA AHMAD

MARAN, 14 Ogos : Beberapa orang mangsa ribut di sekitar kawasan Chenor dekat sini telah diziarahi dan disantuni oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak semalam.

“Saya bersimpati kepada semua mangsa yang terlibat, semoga mereka bersabar dengan ujian yang dihadapi,” kata Ustaz Mujibur.

“Sebahagian kediaman yang terkena bencana ribut petang Jumaat lalu telah saya pergi tengok. Alhamdulillah tiada yang mengalami kerosakan yang terlalu teruk, kebanyakannya hanya tercabut atap.

“Hanya di Kampung Awah agak teruk kerosakannya. Satu bengkel kereta telah runtuh akibat dibadai ribut kencang tersebut,” kata beliau mengulas lawatannya.

Beliau menasihatkan mangsa-mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakan yang teruk supaya segera membuat laporan polis berserta gambar dan anggaran kos jumlah kerosakan.

“Dapatkan salinan laporan polis tersebut untuk memohon bantuan kepada Majlis Agama Islam Pahang (MUIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran atau kepada pengurusan FELDA itu sendiri, bagi memudahkan mereka menjalani siasatan jumlah kerosakan dan seterusnya menyalurkan bantuan yang bersesuaian,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada petang Jumaat lalu, beberapa kawasan di sekitar Chenor telah dilanda angin kencang yang mengakibatkan beberapa kediaman telah mengalami kerosakan.

Antara kawasan yang terlibat ialah FELDA Jengka Enam, FELDA Jengka Tujuh, FELDA Sungai Nerek dan Kampung Bukit Cempedak serta Kampung Awah.

Dalam ziarah tersebut Ustaz Mujibur turut menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Turut hadir sama dalam ziarah tersebut ialah Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.