Home Berita PAS Kelantan

Lebih 5 ribu hadirin meriahkan Ceramah Badar Al-Kubra 1443H

171
SHARE

MACHANG, 20 April: Dataran Kemahkotaan yang baharu siap dinaik taraf dibanjiri lebih lima ribu hadirin yang meraikan Majlis Tadarus, Iftar Jamaei dan Ceramah Badar Al-Kubra 1443H, semalam.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bersyukur program rutin tahunan tersebut dapat dilangsungkan secara fizikal setelah dua tahun dilaksanakan secara maya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau juga berterima kasih atas sokongan rakyat yang menyambut baik setiap program keilmuan dan acara ibadah anjuran Kerajaan Negeri selama lebih tiga dekad.
Hadirin bersyukur atas peluang yang Allah SWT kurniakan, dapat berjemaah Maghrib dan Isyak serta bertarawih bersama-sama pemimpin.

“Alhamdulillah negeri kita sudah kembali kepada suasana seperti dulu, saya kagum melihat rakyat kembali berduyun-duyun hadir bersama anak-anak untuk menghayati taujihat yang disampaikan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” kata Mohd Suhaimi Daud, 55, dari Pasir Mas.

Turut menyampaikan tausiah ialah Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Exco Pendidikan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Exco Dakwah YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Antara isi tausiah ialah tentang tarikh 17 Ramadan yang mengandungi peristiwa besar Nuzul al-Quan dan berlakunya peperangan pertama dalam Islam iaitu Perang Badar al-Kubra pada tahun kedua Hijrah.

Peperangan tersebut melibatkan 313 tentera Islam berhadapan dengan 1,000 tentera Musyrikin Mekah yang kebanyakannya saudara-mara mereka sendiri dan lengkap bersenjata.
Kemenangan berpihak kepada tentera Islam atas dasar ketakwaan dengan pertolongan para malaikat.