Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Lantikan Pesuruhjaya SPRM Baharu Tepati Aspirasi Rakyat

4121
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Lantikan Pesuruhjaya SPRM Baharu Tepati Aspirasi Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Haji Azam bin Baki atas pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Beliau yang mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan memulakan perkhidmatan bermula hari ini menggantikan Latheefa Koya yang telah meletakkan jawatan pada 2 Mac 2020.

PAS yakin tindakan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin merupakan tindakan yang amat tepat dengan aspirasi rakyat untuk melantik seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam kalangan profesional bukan sekadar lantikan politik.

Ia sekali gus memberi keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri yang baharu ke yang lebih serius untuk memacu negara kita kembali ke landasan yang sepatutnya.

PAS percaya dengan pengalaman Datuk Seri Azam Baki yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua (Operasi) SPRM menjadikan pelantikan ini amat bertepatan dengan keupayaan dan pengalaman yang beliau miliki untuk diadaptasikan.

Tindakan memilih penjawat awam yang berkaliber dalam badan perkhidmatan awam adalah sangat dipuji berbanding melantik individu lantikan politik yang pernah menjadi isu sejak sekian lama.

PAS konsisten bersama SPRM dalam pendirian menangani isu-isu rasuah dan sentiasa bekerjasama dalam menangani isu rasuah bagi mengekalkan integriti dalam kerajaan baharu hari ini.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
9 Mac 2020 | 14 Rejab 1441