Home Uncategorized

KESATUAN UMMAH : UMNO BUKAN LAGI MUSUH POLITIK, MEREKA KAWAN DAN MAD’U KITA

306
SHARE
  1. Abu Maryam Safiyah

20 September 2019

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

Surah Fussilat – Ayat 33

Penyatuan Ummah sudah pun dimeterai dengan telus dan luhur. Suasana baru, nafas baru, kesatuan segar menjadikan ruangan dakwah kita semakin luas. Saya mengajak seluruh pendakwah dan ahli PAS agar jadikan peluang ini sebaik-baik nikmat untuk mengecapi kelazatan dakwah kepada mad’u terbaru serta ‘termahal’ ini. Marilah kita mengambil beberapa sarana :

1. Banyakkan perbincangan soal agama tidak sekadar berbicara soal politik kerana kita sudah bersatu, ertinya hati sudah meraikan tanpa tembok walau sekeping. Inilah peluangnya menghamparkan kesenian dan indahnya Islam.

2. Santuni dengan pergaulan yang mesra dan mendalam, tanamkan sifat ukhwah yang terpatri dan kuburkan sifat dendam yang pernah bersarang. Mereka memang ada kelemahan saat mereka berkuasa tapi jangan dilupa manusia ini ada peluang selagi belum hilang nyawa. Kita juga bukan sempurna sampai mati.

3. Bina kebersamaan dan kesepaduan dalam gerak kerja dakwah di mana-mana ruangannya. Jika mereka menjemput untuk beri kuliah mahupun tazkirah serta perbincangan untuk kepentingan Islam. Pergilah dengan tenang dan tenteram kerana kita telah menyaksikan Tuan Guru Presiden sendiri telah pun memberi ‘kuliah’ di PWTC, memeterai muafakat, berikrar bersama di kubu UMNO paling besar itu.

4. Kukuhkanlah ikatan hati dan saff bersama mereka, merekalah golongan Islam dan Melayu paling faham politik, hanya tinggal lagi tugas kita memahamkan mereka makna politik Islam untuk mengundi demi kekuatan Islam dan Umat Islam mendatang.

5. Elakkan berbicara isu kekeruhan atau perpecahan mahupun mengungkit kisah perbalahan lama kerana perangai ini mirip cita rasa Yahudi ketika Rasulullah menyatukan golongan Ansar. Jangan ulangi benda busuk itu. Jadikan diri kita pendokong penyatuan yang melengkapi bukan menggoncang. Dakwah tidak perlukan kedegilan memanjang.

Saya lazim bergaul dengan pimpinan UMNO dan orang UMNO di masjid dan ruangan majlis ilmu sebelum ini sejak 10 tahun berpencak di medan kuliah. Mereka ada yang menjadi pimpinan masjid, ada yang rajin dengar kuliah. Ternyata bergaul bersama mereka bukanlah perkara yang perit. Pernah terdetik di hati satu ketika, kalaulah mereka sedar pilih Islam itu lagi selamat dan menyelamatkan. Moga penyatuan inilah masa yang dimaksudkan.

Allah bersama kita