KOTA BHARU, 7 April: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan YB Dr. Izani Husin berkata, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) melarang remaja dan kanak-kanak yang berusia 17 tahun dan ke bawah di negeri ini daripada menghisap rokok elektronik (vape).
Bagaimanapun, cadangan tersebut masih berada pada peringkat awal, dan pelaksanaan serta peraturannya nanti bergantung kepada persetujuan majoriti dari ahli-ahli parlimen.
“Jika undang-undang ini diluluskan, mereka yang lahir bermula 1 Januari 2005 dan ke bawah, mungkin tidak lagi dibolehkan membeli dan menghisap rokok elektronik (vape) di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco semalam di Kompleks Kota Darulnaim.
Mengulas lanjut Dr Izani berkata, gaya semasa terhadap penggunaaan rokok elektronik kini semakin tinggi dan juga berleluasa khususnya di kalangan remaja sekolah serta golongan Wanita membimbangkan semua pihak.
“Saya menyarankan supaya semua ibu-bapa sentiasa memantau anak-anak mereka dengan tidak membenarkan dari menghisap vape , kerana saya dapati maklumat ada yang berusia 10 tahun sudah pun mula terjebak,” katanya.