Home Berita PAS Pahang

Anak-anak yatim dan asnaf Felda Jengka 15 menerima sumbangan

62
SHARE

Oleh: HASLILAWATI ABDULLAH

KUALA KRAU, 19 Apr :: Program penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf di sekitar Felda Jengka 15 telah berlangsung di Masjid As-Siddiqin dekat sini petang semalam.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim.

Program itu bertujuan membantu meringankan beban anak yatim dan asnaf masjid yang tidak berkemampuan.

Ustaz Shahril di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang memberi kepercayaan kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jengka dalam meraikan mereka semua.

“Selaku umat Islam kita semua digalakkan supaya sentiasa prihatin dan mengambil tahu keadaan anak yatim. Ini kerana kita mencontohi Nabi Muhammad SAW yang sangat rapat dengan anak yatim ibarat dua jari. Barangsiapa yang memelihara anak yatim dia akan bersama dengan Nabi di dalam syurga,” ujar Ustaz Shahril.

Sumbangan tersebut berbentuk wang sementara bagi ibu diberikan beras dan bahan-bahan makanan kering.

Beliau mengajak para penerima bantuan mendoakan agar para penyumbang diberi kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan selamat dunia akhirat serta dihimpunkan di dalam syurga kelak.

Beliau juga berpesan bahawa hidup di dunia ini perlu banyak bersabar, maka ibu yang menjaga anak-anak (yatim) perlu banyakkan berdoa semoga mereka berjaya dunia dan akhirat.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Program Ustaz Abd Rahim Abd Rahman dan Ahli-ahli Jawatankuasa masjid.