Home Berita PAS Kelantan

Keprihatinan rakyat agenda PTJB

142
SHARE

BACHOK, 17 Jan: Bagi merealisasikan hasrat Keluarga Malaysia dan dasar Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok (PTJB) komited menyediakan kemudahan dan kebajikan kepada rakyat dalam jajahannya.

Oleh itu PTJB telah melancarkan Pusat Amal Quality Charity (PAQC) dan Perkhidmatan Kaunter Prihatin PTJB di Bilik Gerakan yang dirasmikan oleh Ketua Jajahan, Mohd Farid Dato’ Abdul Razak, semalam.

Beliau berkata, pelancaran Perkhidmatan Kaunter Prihatin ialah satu usaha memberi kemudahan kepada pelanggan mereka dari golongan warga emas, ibu mengandung dan orang Kelainan Upaya (OKU) semasa berurusan di PTJB.

Menurut Setiausaha NGO Pertubuhan Amal Quality Clothes (QC) Hazawati Mohd Razali pula, PAQC yang akan dibuka di Pantai Irama Bachok adalah cawangan ketiga di Malaysia selepas Melaka dan Sarawak.

“PAQC ialah projek amal pakaian terpakai berkualiti dengan penglibatan penderma, penerima, sukarelawan, peniaga dan alam sekitar lestari. Contohnya penderma akan mendermakan pakaian mereka yang masih elok ke PAQC yang kemudiannya dipilih oleh sukarelawan untuk diagihkan secara percuma kepada golongan susah atau dijual pada harga murah kepada mereka yang berkemampuan. Tujuannya ialah untuk mendapatkan wang bagi melancarkan operasi pusat tersebut”, katanya.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua-ketua jabatan jajahan Bachok.