Home Berita PAS Kelantan

Kepentingan suntikan vaksin, kesedaran masyarakat meningkat

8
SHARE
Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
TUMPAT, 6 Jul: Program Outreach Suntikan Vaksin kepada komuniti di Wat Machimmaram, Jubakar Darat diadakan selama dua hari bermula semalam, mendapat sambutan penduduk di kawasan sekitar datang ke lokasi untuk membuat pendaftaran.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata program ini telah membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan masyarakat untuk mendapat suntikan vaksin berdasarkan peningkatan kes harian COVID-19 yang masih berada pada tahap yang membimbangkan.
“Kerajaan terus komited dan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur kerana ia sangat penting bagi melindungi seluruh rakyat daripada risiko jangkitan yang lebih teruk selain dapat membantu proses menjana semula ekonomi negara,” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor.
Tambahnya, dengan adanya outreach pendaftaran suntikan vaksin ini dapat membantu masyarakat untuk mendapat suntikan vaksin dengan lebih cepat.
Berdasarkan statistik terkini Pejabat Kesihatan Negeri, Tumpat merekodkan 20,502 penduduk sudah menerima suntikan dos pertama dan 11,888 penerima yang lengkap dos kedua.
Program tersebut dianjurkan oleh Cawangan Pendidikan Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) COMBI daerah Tumpat, Penghulu Mukim Jubakar Darat dan Ahli Jawatankuasa Wat Machimmaram.