Home Minda Presiden

Kenyataan Tuanku Dan Darurat 

715
SHARE

Minda Presiden PAS

KENYATAAN TUANKU DAN DARURAT 


Patik merujuk kepada Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 25 Oktober 2020: 

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan. 

Seri Paduka amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini dari terus merebak. 

Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia. 

Kendatipun begitu, Seri Paduka ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.”

Patik menjunjung kasih kepada kenyataan KDYMM Yang di-Pertuan Agong yang sangat teliti dan berhemat. Baginda turut menggunakan bahasa nasihat dan memberikan pandangan, bukannya titah perintah atau arahan yang memaksa.

Namun begitu, terdapat beberapa amaran yang perlu diberikan perhatian, di samping beberapa perkara yang telah digariskan.

Pertama: Ahli politik memberhentikan segera sebarang politiking.

Kedua: Ahli Parlimen jangan sama sekali bertindak secara tidak bertanggungjawab.

Muhasabah perlu dilakukan dengan ikhlas, sejauh mana politiking diberhentikan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab tiada dilakukan. Pemantauan yang serius juga perlu dilakukan, adakah kedua-dua tingkah laku yang diberikan amaran tersebut dilaksanakan?

Patik sendiri melihat dengan mata kasar yang masih terang dan mendengar dengan telinga yang masih jelas, alhamdulillah, namun patik menyerahkan kepada umum untuk membuat perhatian sendiri dengan kemampuan teknologi maklumat tanpa sempadan hari ini. Begitu juga dengan menggunakan segala saluran media terkini, sekalipun ada media yang berpenyakit cirit-birit secara tidak terkawal.

Kenyataan terbuka menunjukkan bahawa KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah berpuas hati dengan langkah kerajaan terkini dalam menangani penularan wabak pandemik COVID-19. Di samping itu, Baginda juga menasihati semua Ahli Parlimen supaya bertanggungjawab dengan tidak mengganggu-gugat kerajaan sedia ada yang sedang menjalankan tugas dengan baik dan ada penambah baikan.

Oleh kerana wabak pandemik COVID-19 masih marak di seluruh pelosok dunia, maka masalah yang gawat ini belum selesai dan sudah banyak negara yang terpaksa mengisytiharkan darurat. Sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana Malaysia juga berada dalam bulatan dunia, bukan dalam planet di luar bumi ini.

Setiap perkembangan bahaya COVID-19 yang berlaku dalam dunia hari ini perlu diberi tahap kewaspadaan yang tinggi. Kita mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan, sebelum wabak ini menular dengan lebih parah sehingga menjadi bebanan semua pihak khususnya golongan rakyat yang paling menderita.

Darurat boleh berlaku dengan perisytiharan yang diluluskan oleh kerajaan seperti permohonan yang tidak dipersetujui oleh budi bicara Majlis Raja-Raja, dilihat akibat Pilihan Raya Umum (PRU) yang dipaksakan seperti PRN Sabah dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang sudah dijangka akibatnya akan datang.

Keputusan yang besar dalam menghadapi apa-apa masalah, sama ada dilaksanakan darurat atau tidak, sebolehnya dirujuk kepada bidang kepakaran yang sebenar dalam segala aspek dan lapangannya. Ini sangat penting supaya keputusan diambil secara bijaksana dan benar-benar berpijak di bumi yang nyata, bukan melalui sumber serpihan atau pandangan serpihan dalam salah satu aspek perlembagaan, politik atau ekonomi sahaja secara berasingan.

Masalah yang berlaku mesti dirujuk kepada kumpulan pakar yang sebenar seperti masalah nelayan jangan ditanyakan kepada ahli pertanian. Begitu juga ilmu angkasa lepas jangan dirujuk kepada ahli kaji bumi, nanti keputusan yang dibuat akan berlaku kejadian yang bercanggah dengan hakikat yang sebenar.

Maka masalah penularan COVID-19 perlu ditanya kepada ahli perubatan, keselamatan dan pihak lain yang berkaitan, bukan ahli politik dan pakar undang-undang perlembagaan semata-mata.

Secara tegas, sebolehnya dalam menangani COVID-19, sama ada darurat perlu dilaksanakan atau tidak, jangan ditanya kepada pakar undang-undang, ahli politik, ahli ekonomi, tentera dan polis sahaja.

Sebolehnya dirujuk kepada semua pihak berkenaan, termasuklah pakar kesihatan, pihak polis dan tentera, khususnya semua pihak yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi COVID-19. Sudah ada dalam kalangan mereka yang telah menjadi mangsa ketika menjalankan tugas dengan jumlah bilangan kes yang tidak menurun.

Maka perkara ini wajib diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh, sejauh mana perkembangan sebenar tahap penularan yang membahayakan kesihatan rakyat terkini dari segi pencegahan, rawatan dan tahap penyebaran wabak ini.

Selain itu, perlu diberikan perhatian akan kemampuan sebenar anggota polis dan tentera melalui pendekatan yang dilakukan terkini dalam melaksanakan PKPB bagi mengatur pergerakan rakyat dan menghalang pendatang tanpa izin yang telah dan dijangka akan membawa wabak serta kesan kepada kehidupan rakyat jelata secara menyeluruh.

Tidak mustahil sekiranya kita berjaya menangani wabak ini, namun rakyat di negara lain yang tidak berjaya menanganinya datang ke negara kita, kononnya untuk menyelamatkan diri tetapi membawa bala bencana yang lebih berbahaya jika dibandingkan dengan bencana air banjir yang dapat dilihat dengan nyata.

Keputusan yang ditentukan untuk menghadapi COVID-19 tidak tepat jika hanya mendengar daripada ahli politik yang sentiasa berwirid dengan angka kerusi sahaja, atau ahli ekonomi yang hanya membuat bacaan senario pasaran saham yang dijangka kemarau, atau ahli perlembagaan dan pihak-pihak lain.

Darurat boleh berlaku dengan pelbagai sebab, bukan sahaja disebabkan oleh faktor politik, ekonomi, peperangan atau hura-hara keganasan yang mewajibkan perintah berkurung sehingga kereta kebal turun ke jalan raya dan pihak polis memasang pagar berduri atau wayar eletrik. Malah darurat juga boleh berlaku berpunca daripada bencana alam, banjir besar termasuk wabak taun dan terkini wabak COVID-19 yang tidak mengenal sempadan.

Darurat boleh berlaku apabila terancamnya rukun kehidupan manusia. Islam menetapkan perkara rukun itu terdiri daripada aspek agama, nyawa, akal, maruah, zuriat dan harta. Ini bermaksud apabila berlaku ancaman terhadap perkara-perkara tersebut, maka hukum darurat yang mengubah keadaan biasa kepada luar biasa wajib dilaksanakan.

Perkara ini termasuk dalam aspek memelihara Maqasid al-Syariah yang tidak mempunyai nas dalam al-Quran dan Hadis, tetapi boleh diambil keputusan oleh Ulil Amri (Raja-Raja, pemimpin, para ulama’, ilmuwan dalam segala lapangan dan para pemimpin masyarakat).

Pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA, berlakunya wabak ‘taun amwas’ yang mengorbankan ribuan nyawa manusia termasuk para sahabat terbilang seperti Abu ‘Ubaidah Amir al-Jarrah RA. Ketika itu beliau ditugaskan menjadi Wali (Gabenor) di Wilayah Syam (Palestin, Syria dan Lubnan) yang menjadi mangsa wabak tersebut.

‘Amr bin al-‘As RA yang mengambil alih tugas melaksanakan langkah kuarantin sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah  SAW dan melaksanakan tindakan tambahan yang tidak dinyatakan dalam nas. Ada dalam kalangan penduduk dipaksa supaya berpindah ke kawasan bukit bukau dan lembah-lembah. Beliau bertindak tanpa mempedulikan kepada mereka yang menentangnya sekalipun daripada kalangan para sahabat yang lebih tua.

Tindakan yang diambil oleh ‘Amr bin al-‘As itu berjaya sehingga Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA melantiknya menjadi pemerintah Mesir yang berautonomi. Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA menegaskan satu kenyataan yang terkenal:

إِنَّ اللهَ لَيَزَعُ بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ.

“Allah mengizinkan Sultan (pihak pemerintah) bertindak dengan menggunakan kuasa pemerintahan, perkara yang tidak disebutkan hukumnya (tindakan) oleh al-Quran (secara nas).” (Riwayat Ibn al-‘Athir dalam al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, jld. 5, ms. 180)

Para ulama’ juga menetapkan satu kaedah:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة.

“Tindakan kepimpinan negara terhadap rakyat berkonsepkan maslahah.”

Maslahah yang dimaksudkan melalui kaedah ini ialah ‘maslahah mursalah’ yang tidak ditetapkan dalam al-Quran dan Hadis (tiada nas berkenaannya), bukan maslahah dalam perkara yang telah ditetapkan (mu’tabarah) atau maslahah yang diharamkan oleh syara’ (mulghah).

Adapun dalam keadaan darurat, al-Quran menunjukkan hukum yang menjadi teladan bagi memelihara nyawa sehingga diizinkan memakan makanan yang haram, iaitu firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ١٧٢ إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ  فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ  إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ١٧٣﴾

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah daripada rezeki yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. (172); Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tiada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (173).” (Surah al-Baqarah: 172-173)

Ayat ini berkaitan dengan situasi darurat bagi menjaga nyawa apabila tiada makanan yang halal. Maka diharuskan dengan kadar yang berpatutan, berdasarkan kaedah berikut:

الضرورة تقدر بقدرها.

“Keadaan darurat diharuskan mengikut kadarnya sahaja (tidak boleh berlebihan).”

Dalam menangani penularan wabak pandemik COVID-19, ia perlu dilihat dari segala sudut bukan sahaja aspek menangani penyakit, pencegahan dan rawatan perubatan, termasuk juga dilihat dari aspek keselamatan, ekonomi, masyarakat dan keluarga yang terkongkong.

Selain itu, aspek pergerakan dan perjalanan rakyat yang tidak mengerti bahaya yang mendatang dan ancaman pendatang dari luar yang boleh memasuki perairan dan sempadan negara yang sangat luas dan jauh. Kemasukan mereka mungkin boleh menjadi pembawa atau punca merebaknya wabak yang tidak terkawal jika tidak diambil langkah lebih awal.

Media juga perlu dikawal dengan baik pada masa bencana COVID-19 sedang melanda, agar mereka tidak menyiarkan laporan dan ulasan panjang secara provokasi halus. Sehingga boleh mengakibatkan berlaku perkara sama seperti demonstrasi di Thailand terhadap Raja mereka. Apakah tujuan di sebalik pemberitaan ini sebenarnya?

Apa yang telah berlaku di Sabah menjadi contoh amaran awal yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

Tunaikan tanggungjawab yang besar ini, laksana kita berada dalam satu bahtera sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ، وَالْوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا، وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا، وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا. 

“Bandingan mereka yang bertanggungjawab menegakkan sempadan Allah (penguatkuasaan hukum) dan mereka yang diambil tindakan laksana mereka yang diatur dalam sebuah bahtera (kapal). Ada yang diletakkan di atas dan ada yang diletakkan di bawah. Apabila kalangan yang berada di bawah memerlukan air, mesti melalui mereka yang berada di atas. Lalu mereka berkata: ‘Tebukkan sahaja kapal ini tanpa peduli terhadap mereka yang berada di atas kerana tidak mahu menyusahkan mereka.’ Jika dibiarkan mereka bertindak mengikut kemahuannya nescaya semuanya binasa (tenggelamkapalnya). Jika dihalang nescaya semuanya selamat.” (Riwayat al-Bukhari 2493)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabi’ul Awwal 1442 / 28 Oktober 2020