Home Kenyataan Media PAS Melaka

Kenyataan Media : SIKAP KERAJAAN PH YANG DILIHAT SIMPATI DENGAN PERJUANGAN KOMUNIS MERUNSINGKAN RAKYAT -TPJ PAS MELAKA

756
SHARE
Ustaz Imran Abdul Rahman – Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka

Kenyataan Media Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka


SIKAP KERAJAAN PH YANG DILIHAT SIMPATI DENGAN PERJUANGAN KOMUNIS MERUNSINGKAN RAKYAT

Semalam (1 Disember 2019) akhbar Harian Metro melaporkan 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang.

Perjumpaan yang dikatakan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989 turut dihadiri oleh ADUN Sungai Pelek DAP, Ronnie Liu dan veteran PKR Syed Hussin Syed Ali.

Beberapa hari lepas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa isu abu mayat bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya abu mayat yang tidak boleh melakukan apa-apa.

Kenyataan ini merupakan satu kenyataan yang tidak mengambilkira sensitiviti rakyat Malaysia yang pernah menjadi mangsa komunis terutama bekas angkatan tentera yang cedera, cacat atau terkorban dalam mengekang aktiviti komunis sebelum ini.

Tun Mahathir dalam kenyataan yang sama yang menuduh mereka yang marah dengan kejadian ini sebagai perkauman pula sebenarnya adalah satu percubaan untuk mengheret isu ini menjadi isu perkauman agar rakyat takut untuk membangkitkan isu ini.

Komunis bukan semata-mata menyentuh isu satu-satu kaum tertentu sahaja. Komunis disertai oleh semua kaum. Kekejaman komunis juga merentasi semua kaum di Malaysia tidak kira Melayu, Cina atau India. Semua kaum di Malaysia mengutuk dan mengecam kekejaman komunis selama ini.

Sejak zaman berzaman DAP memang sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan pengiktirafan bahawa komunis juga adalah pejuang kemerdekaan. Adakah Tun Mahathir kini sudah pun bersetuju dengan DAP yang mengangkat perjuangan komunis sebagai pejuang kemerdekaan?

Sikap kerajaan yang dilihat lunak dalam menangani isu ini menimbulkan satu persoalan adakah perjuangan komunis akhirnya akan diiktiraf di zaman ‘Malaysia Baharu’ ini?

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan pengganas komunis pada 2 Disember 1989 bukan tanda berakhirnya perjuangan komunis. Ia hanya satu era perubahan taktik komunis daripada perang gerila dengan senjata kepada perang psikologi dan menyusup ke dalam organisasi-organisasi dan parti politik.

Sekarang rakyat sudah mula berasa bimbang dan runsing dengan kemungkinan dasar dan perjuangan komunis akhirnya akan didukung secara halus oleh kerajaan PH yang dikuasai DAP ini. Kita bimbang jentera kerajaan akan diresapi oleh pengaruh dan ideologi komunis dengan sikap kerajaan yang lunak dengan komunis ini.

Kerana itu saya menyeru rakyat agar terus menolak PH dalam mana-mana pilihanraya kecil sehingga ke pilihanraya umum ke 15 nanti demi menyelamatkan Malaysia dari diresapi ideologi komunis secara halus ini.

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Timbalan Pesuruhjaya 2
Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka
5 Rabiulakhir 1441 / 2 Disember 2019


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)