Home Artikel PAS Wilayah

Muafakat Nasional Positif Tawan Batu

185
SHARE

Muafakat Nasional positif tawan Batu

Oleh: Dhiya’ Muttmainnah

30 November 2019

SENTUL – Ceramah Perdana Muafakat Nasional Pasca PRK Tanjung Piai telah diadakan dengan jayanya di Dewan Yayasan Warisan Batu, baru-baru ini.

Program anjuran PAS Kawasan Batu dan Umno Bahagian Batu ini dimulakan dengan Solat Maghrib dan Solat Sunat Hajat berjamaah serta Ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya.

Seramai lebih kurang 400 orang hadirin termasuk ahli Malaysia Indian Congress (MIC), ahli Malaysian Indian Muslim Congress (KIMMA), masyarakat setempat serta ahli kedua – dua parti penganjur hadir bagi mendengar Ceramah Perdana tersebut.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Ketua Umno Bahagian Batu, Datuk Haji Yahaya Mat Ghani, beliau menegaskan bahawa tawaran baru untuk rakyat harus dikemukakan agar sokongan yang diberikan pada Muafakat Nasional bukan semata-mata kerana menolak Pakatan Harapan, tetapi bersama rasa sayangnya pada Muafakat Nasional.

Menurut Ustaz Azhar Yahya pula desakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar Ahli Parlimen Batu, YB P. Prabakaran meletakkan jawatan dengan segera adalah signal kepada Muafakat Nasional untuk mula bekerjasama dengan bersungguh-sungguh bagi mendapatkan undi majoriti dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Ceramah Perdana ini turut membariskan pimpinan atasan kedua – dua parti iaitu Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman merangkap Pengerusi Muafakat Nasional Kebangsaan UMNO, Dato’ Ir Iskandar Samad, Bendahari PAS Pusat serta Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam ucapan beliau, YB Dato’ Seri Tajuddin kekal optimis menghadapi PRU-15 yang dijangka satu lawan satu antara Pakatan Harapan dan Muafakat Nasional.

Ybhg. Ir. Dato’ Iskandar Abd Samad seterusnya menyingkap sejarah wilayah-wilayah seperti Pattani, Kemboja dan Filipina yang dahulunya ditadbir Islam namun kini jatuh ke tangan-tangan yang membantut perkembangan Islam. Beliau turut menegaskan kepentingan sesebuah negara diperintah oleh masyarakat majoriti bagi menjamin kestabilan sejagat.

Di akhir sesi, Dato’ Dr Asyraf Wajdi menyeru agar semua orang Islam agar saling bersatu menguatkan Islam di tanah air.