Home Berita PAS Kelantan

Kelantan dominasi penternakan lembu hibrid

43
SHARE

KOTA BHARU, 30 Mac: Pemodenan dan teknologi biopenternakan dalam pembiakbakaan lembu hibrid Jenama Kelantan (NAIMbif) mencatat rekod Kemajuan memberangsangkan. Keaktifan para penternak mengikuti kursus pendedahan kepada teknologi terkini telah melahirkan juru suntik permanian beradas berdaftar yang teramai iaitu 75 orang daripada 182 orang peringkat Malaysia dan menjadi agen pembiakbakaan ternakan yang aktif di seluruh Negeri Kelantan.

Demikian ulasan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Ustaz Mohd Tuan Saifudin Tuan Ismail ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, YB Datuk Abdul Aziz Derashid pada Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri Ke-14 Tahun 2022 Hari Ke-3, hari ini.

Menurutnya, terdapat beberapa produk pertanian berskala besar yang terbaik dibawah gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’ melalui strategi Gerakan Pertanian Al-Falah (GEPA) antaranya tanaman tembikai, durian, labu manis dan cili. Katanya lagi, cili solok merupakan identiti Negeri Kelantan kerana tidak ditanam di negeri lain. Selain itu juga Negeri Kelantan merupakan pengeluar kedua tertinggi bagi tanaman tomato dan ketiga tertinggi bagi tanaman kobis bulat di Malaysia.

Mengulasnya lagi, Negeri Kelantan juga memiliki Pusat ternakan rusa antara terbesar di Malaysia dengan populasi 333 ekor di Rong Chenok To’ Uban.

Pada masa yang sama, Zon Industri Akuakultur (ZIA) To’ Uban diwujudkan untuk mengusahakan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar yang berintegrasi dengan projek solar terapung.
Projek antara yang terbesar di Malaysia itu melibatkan 557 petak sangkar dengan 77 penternak.

“Kerajaan Negeri Kelantan akan memberi tumpuan penghasilan produk pertanian sepertimana yang telah digariskan melalui sembilan sub sektor yang dirancang sebelum ini akan sentiasa dirujuk serta berkerjasama dengan pihak Kementerian Pertanian & Industri Makanan (MAFI) dalam membangunkan Sektor Pertanian di dalam Negeri Kelantan ini selaras sasaran untuk menjadikan Negeri Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara yang lebih dinamik,” katanya ketika menjawab soalan nombor 13, hari ini.