Home Berita PAS Kelantan

E-Sukan diperkasakan kepada belia Kelantan

22
SHARE

KOTA BHARU, 30 Mac: Kerajaan Negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBS) dan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSK) telah mengambil langkah dan melaksanakan beberapa program untuk memperkasakan E-Sukan dalam kalangan anak muda di negeri ini.

Demikian jawapan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Wan Roslan Wan Hamat ketika menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, YB Rohani Ibrahim dalam Sidang DUN Kali Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2022 hari ini, berkenaan langkah bagi memperkasakan E-Sukan dalam kalangan anak muda.

Menurut YB Wan Roslan, salah satu langkah yang dibuat ialah menggalakkan penubuhan persatuan atau kelab sukan elektronik berdaftar dengan Pejabat Pesuruhanjaya Sukan Malaysia bagi menggerakkan aktiviti sukan elektronik dan menganjurkan pertandingan E-Sukan.

“Antara persatuan dan kelab yang telah berdaftar ialah Kelab E-Sport Negeri Kelantan, Persatuan Sukan Elektronik Negeri Kelantan, Kelab Sukan Elektronik N Generation (N Generation Esports Club) dan Kelab Sukan Elektronik Kijang,” katanya.

Seterusnya beliau juga memaklumkan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan e-bantuan kepada persatuan atau kelab sukan yang berdaftar untuk menjalankan aktiviti dengan mengemukakan kertas kerja dan dokumen yang berkaitan melalui pautan Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Selain itu beliau berkata sepanjang tahun 2021 pelbagai program dan pertandingan telah pun dibuat untuk meraikan minat belia terhadap E-Sukan, antara pertandingan yang dibuat ialah Pertandingan E-Sukan (MLBB) dan Pertandingan PUBG Mobile Sempena Hari Sukan Negara 2021 serta mengadakan Cabaran E-Sport Online U-Bes selama sebulan (setiap Jumaat dan Sabtu) sepanjang Julai 2021.