Home Berita PAS Kedah

Kedah Berjaya Tarik RM70 Bilion Pelaburan

1093
SHARE

ALOR SETAR – Pelaburan memberangsangkan berjaya dibawa masuk ke negeri ini sejak diambil alih oleh pemerintahan kerajaan baharu yang mentadbir telah mencecah hampir RM70 bilion.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad berkata, jumlah pelaburan itu terkumpul sejak Perikatan Nasional mengambil alih negeri ini pada 17 Mei tahun lalu.

Menurutnya, prospek pelaburan untuk masa depan di Kedah sangat baik walaupun ekonomi di seluruh dunia menguncup dengan begitu teruk akibat daripada pandemik COVID-19 yang melanda.

“Tapi alhamdulillah, di negeri kita, walaupun kesannya tetap kita rasa namun prospek pelaburan untuk masa hadapan adalah sangat baik.

“Sejak kita mengambil alih pentadbiran kerajaan bermula 17 Mei 2020, komitmen pelaburan yang terkumpul setakat ini telah mencecah RM70 bilion,” katanya di Dewan Sri Mentaloon, di sini semalam.

Najmi berkata demikian ketika membaca teks ucapan Menteri Besar Kedah dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai Tadbir Negeri, Pegawai Tadbir Persekutuan, Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu Mukim seluruh Kedah.

Beliau yang turut menjawat portfolio Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia berkata, hampir setiap bulan ada sahaja pelabur datang membawa cadangan untuk pelbagai projek ke negeri ini.

Menurutnya, bagi suku pertama tahun ini sahaja, nilai pelaburan yang telah diluluskan untuk projek-projek Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Kedah telah mencecah RM6.8 bilion

Menurut beliau lagi, selain kerja keras oleh semua pihak, faktor lain yang membantu usaha berkenaan ialah integriti.

“Soal integriti adalah sangat penting kerana inilah perkara yang akan dinilai oleh pelabur sama ada untuk menanam modal ataupun bekerjasama dengan kita.

“Integriti juga akan membawa kepada keberkatan dalam setiap usaha yang kita lakukan,” katanya pada majlis dihadiri sama Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang.