Home Berita PAS Kedah

3,708 mohon keahlian baru PAS di Kedah

69
SHARE

 

Oleh: ROZAIDI TAIB

ALOR SETAR, 30 SEPT –  Sebanyak 3,708 borang  permohonan baru keahlian PAS diserahkan kepada Presiden PAS, YB Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang  oleh Ustaz Zelani Nik Chik mewakili Badan Perhubungan PAS Kedah sempena Konvensyen PAS Kedah yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Permohonan ini datangnya dari 15 PAS Kawasan di negeri Kedah setakat bulan September tahun 2023.

Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dato’ Ahmad Yahaya dalam pembentangan kertas Konvensyen meletakkan sasaran keahlian PAS di negeri Kedah ialah seramai 350 ribu orang bagi lima tahun yang akan datang.

“Lani (sekarang) dah menghampiri 200 ribu ahli PAS Kedah, Almarhum Ustaz Fadzil Noor ada sebut bila ditanya bila PAS akan memerintah Malaysia, dia menjawab apabila ahli PAS Kedah seramai 200 ribu, jadi Tuan-tuan kena usaha bagi cukup 200 ribu kita akan ambil alih Putrajaya InsyaAllah” katanya.

Selain itu katanya, apabila PAS menerima kemasukan ahli PAS yang ramai maka sistem tarbiah perlu diperkemaskan kerana inilah tunjang kekuatan PAS yang ampuh sehingga kini.

“Saya difahamkan PAS Kawasan Baling akan mengadakan program pentarbiahan ahli-ahli baru secara besar-besaran dan diharap semua PAS Kawasan mengambil tindakan yang sama bagi memperkukuhkan kefahaman ahli yang baru menyertai parti,” tambahnya.

Konvensyen yang diadakan menjelang Muktamar PAS Pusat ke-69 disertai oleh lebih 700 peserta terdiri daripada pimpinan PAS peringkat Negeri dan Kawasan termasuk Ketua dan Setiausaha PAS Cawangan-cawangan.

Turut hadir Pengarah Pilihanraya PAS Pusat merangkap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Datuk Awang Hasyim dan Shahir Sulaiman, AJK PAS Pusat serta Ahli Dewan Rakyat dan ADUN negeri Kedah.