Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 10

755
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 10

Ayat 27 – 29: Seruan Supaya Tidak Mengkhianati Allah, Rasul dan Baiah

? Firman Allah serta terjemahannya:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوۤا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُون (٢٧)

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah, Rasul, dan juga jangan kamu mengkhianati amanah yang diberi kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui.

وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّمَاۤ أَمۡوَ ٰ⁠لُكُمۡ وَأَوۡلَـٰدُكُمۡ فِتۡنَةࣱ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥۤ أَجۡرٌ عَظِیم (٢٨)

Dan ketahuilah bahawa harta dan anak-anakmu itu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar.

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن تَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ یَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانࣰا وَیُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَیِّـَٔاتِكُمۡ وَیَغۡفِرۡ لَكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِیمِ (٢٩)

Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu bertakwa kepada Allah, pasti Dia memberikan furqan (kemampuan membezakan antara yang hak dan batil) kepadamu dan menghapus segala kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah memiliki kurniaan yang besar.

? Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah menyeru manusia agar mentaati dan mengikuti segala perintah Allah dan Rasul-Nya, seterusnya Allah mengingatkan orang beriman agar tidak mengkhianati kedua-duanya dan amanah yang diberi kepada mereka.

2. Ayat 27 diriwayatkan turun kerana perbuatan seorang munafik yang menulis surat kepada Abu Sufyan di Mekah bahawa Nabi SAW mahu menangkapnya.

3. Seterusnya, dalam ayat 28 Allah SWT memberikan peringatan kepada orang beriman bahawa anak dan harta benda adalah fitnah, iaitu ujian dalam hidup. Kehadiran anak menyebabkan manusia giat mencari harta. Apabila anak dan harta telah ada, timbul rasa sayang terhadap kedua-duanya sehingga meminggirkan amanah Allah dan Rasul yang lebih utama.

Hadis daripada Abu Ya’la dari Abu Said Al-Khudri, “Anak adalah buah hati dan sesungguhnya dia menyebabkan timbul sikap pengecut, bakhil, dan dukacita. (HR Abu Ya’la)

4. Ayat 29 pula menyatakan kesan takwa yang akan diperolehi hambaNya. Allah SWT mengurniakan al-furqan kepada golongan yang bertakwa, iaitu kemampuan membezakan antara yang baik dan buruk. Al-furqan adalah tahap ketiga selepas iman dan takwa. Mereka yang memiliki sifat ini akan dikurniakan maghfirah oleh Allah SWT.

? Pengajaran:

1. Berlaku amanahlah dalam menyimpan rahsia pentadbiran dan strategi Islam daripada musuh. Ia adalah tanggungjawab semua Muslim. Oleh itu, membocorkan strategi sehingga melemahkan Islam dikira sebagai khianat dan dosa.

2. Uruslah kurniaan anak dan harta supaya menjadi ladang pahala yang bermanfaat, bukannya menjadi punca lalai daripada mengikuti perintah Allah SWT.

3. Yakinlah akan janji Allah SWT dan berusahalah untuk meningkatkan takwa dengan memelihara hubungan dengan Allah SWT pada setiap masa dan keadaan. Taqwa menjadi perisai untuk melindungi diri daripada khianat kepada Allah dan Rasul, seterusnya melindungi diri daripada fitnah dunia.

? Rujukan:
1. Tafsir Al-Azhar HAMKA

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
22 April 2021 / 10 Ramadhan 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal