Home Berita PAS Kelantan

101 usahawan muda terima sumbangan kerajaan negeri

22
SHARE

TUMPAT, 14 Ogos: Seramai 101 usahawan muda dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu menerima sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan berupa barang-barang peralatan untuk membantu meningkatkan perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat diundang untuk menyampaikan sumbangan tersebut pada Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Muda DUN Wakaf Bharu 2022 di Wisma Purnama Wakaf Bharu, Khamis lalu.

YB Wan Roslan berharap sumbangan tersebut dapat meningkatkan lagi perniagaan mereka pada masa akan datang.
“Kerajaan Negeri Kelantan amat prihatin terhadap kebajikan anak muda yang menceburi bidang perniagaan. Oleh itu, dana khas Bantuan Usahawan Muda Kelantan bernilai RM4.5 juta diperuntukkan bagi 45 DUN bagi membantu usahawan belia di negeri ini yang terkesan akibat COVID-19. Kita berharap usahawan muda memanfaatkan sumbangan ini dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus gigih berusaha dalam bidang perniagaan yang dijamin sembilan per sepuluh rezeki melaluinya oleh Allah SWT,” katanya.

Turut hadir, ADUN Wakaf Bharu, YB Mohd Rusli Abdullah dan isteri, Pegawai Khas (Tugas-tugas Khas) Menteri Besar, Mohd Hushaimi Hussian dan Penghulu-penghulu DUN Wakaf Bharu.