Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Jangan Gugat Perpaduan Rakyat

128 views
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 269/140
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
22 Jamadil Akhir 1440 | 27 Februari 2019

PAS pandang serius ucapan Nazri Aziz

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan


1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius ucapan YB Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin mengenai cadangan penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

2. Sewajarnya setiap pihak perlu memfokuskan kepada agenda perpaduan rakyat dan mengurangkan pergeseran kaum yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.

3. Politik pasca PRU14 harus mengekalkan kerukunan persefahaman yang didasari daripada semangat pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan.

4. Sekolah Jenis Kebangsaan telah lama ditubuhkan di Malaysia. Malah, setiap tahun pihak kerajaan memperuntukkan sejumlah dana bagi membantu keperluan sekolah.

5. Kedudukan SJK yang telah lama beroperasi dan semakin berkembang perlu dianggap sebagai sebahagian daripada sekolah bantuan kerajaan dan ia perlu ditambah baik serta dipantau dari masa ke semasa.

6. Perkara paling asas, setiap SJK perlu mempunyai piawaian yang tinggi dalam penguasaan bahasa kebangsaan. Ia perlu dijadikan satu indeks pencapaian yang utama.

7. Setiap pelajar SJK mesti fasih berbahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu termasuk menulis dan membaca.

8. Penguasaan Bahasa Melayu penting kerana ia merupakan identiti kepada rakyat Malaysia. Malang, sekiranya rakyat Malaysia tidak mahir berbahasa Melayu.

9. Perkara ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi teras kepada penggubalan Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan 1996.

10. Sistem Pendidikan Kebangsaan yang telah diselaraskan memperuntukkan secara jelas bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, dan kurikulum serta peperiksaan juga mestilah sama.

11. PAS percaya dengan pemerkasaan perkara ini, ia mampu memupuk perpaduan negara.

Islam Memimpin

Sekian