Home Berita PAS Pulau Pinang

Muslimat P.Pinang Ziarah Keluarga Angkat Mualaf

988
SHARE

Oleh: UMMU AL – FATEH

KEPALA BATAS: Kegigihan keluarga Abdul Rahman Abdullah mempertahankan agama Islam yang mereka anggap sebagai cahaya yang menyinari kehidupan mereka mendapat perhatian daripada Lajnah Dakwah DMPN Pulau Pinang untuk menyantuni mereka.

Dengan kerjasama Lajnah Dakwah DMPK Kepala Batas, satu aktiviti ziarah muslimat ke rumah keluarga angkat Lajnah Dakwah ini, di Mengkuang telah diadakan pada 24 Februari 2019 bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim serta menyampaikan sedikit bantuan.

Ketika sesi ziarah, Abdul Rahman yang berketurunan India masih bekerja di luar sebagai pengawal keselamatan . Walau bagaimanapun isterinya Nor Sofia Abdullah yang juga berketurunan India dan dua anaknya menyambut kehadiran muslimat dengan mesra sementara anak-anak yang lain kesemuanya bersekolah asrama .

Lajnah Dakwah PAS negeri sebelum ini telah mengambil inisiatif menyelamatkan akidah anak-anak keluarga ini dengan menempatkan kesemua anak-anak tersebut di sekolah agama dan sekolah tahfiz dengan dibiayai beberapa NGO yang bermurah-hati. Terdahulu empat orang daripada mereka berada di bawah jagaan rumah ibadat agama lain.

Puan Sofia ketika ditemui bangga dengan Islam sebagai agamanya setelah kedua-dua suami isteri tersebut berkongsi mimpi yang sama iaitu ditawarkan keselamatan dengan memeluk Islam lantas keyakinan ini membawa mereka memilih Islam sebagai cara hidup keluarga mereka.

Anaknya yang kedua Nur Hidayah fasih berbahasa Melayu kerana pernah bersekolah agama membantu ibunya menceritakan keadaan keluarga yang beranak 13 orang ini mengharungi suka duka mereka setelah memeluk Islam.

Agak mendukacitakan, mereka turut menghadapi cemuhan serta tohmahan daripada segelintir orang Melayu yang tidak memahami tanggungjawab muslim untuk menunjukkan contoh yang baik serta membimbing saudara baru yang memeluk Islam.

Sebagai usaha menambah kefahaman keluarga ini, muslimat telah berbesar hati mengambil inisiatif untuk menjalankan kelas fardhu ain kepada ibu dan dua orang anak yang tinggal di rumah kerana semenjak berpindah ke kawasan Mengkuang ini mereka tidak mengikuti sebarang kelas pengajian agama.

Ziarah kali ini turut disertai oleh beberapa orang AJK JPrMK Permatang Pauh dan wakil Ameerah dengan turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini.