Home Kenyataan Media PAS Melaka

Jadikan Ramadan bulan penyatuan | PAS Kawasan Masjid Tanah

203
SHARE

ALHAMDULILLAH, hari ini kita semua telah diizinkan oleh Allah swt untuk sekali lagi berada di dalam bulan suci Ramadan yang ditunggu-tunggu sekalian umat Islam.

Bulan yang penuh barakah dan rahmat ini harus diisi dengan segala amal ibadat yang boleh mendekatkan lagi kita dengan Allah swt bagi merebut segala bonus pahala yang dikurniakan Allah swt istimewa untuk bulan Ramadan sahaja.

Di samping kita melakukan amalan ibadah khususiyah jangan kita lupa bahawa usaha untuk menyatukan umat Islam harus lebih disemarakkan bersempena bulan suci ini.

Umat Islam yang terpecah belah kerana hal-hal yang bersifat kepentingan peribadi dan menjaga kelompok sendiri merugikan umat ini dan menjadikan kita lemah dalam menghadapi ancaman daripada musuh Islam sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (pada zaman jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Ali Imran: 103)

Jadikan bulan Ramadan yang mulia ini sebagai bulan penyatuan umat Islam, bulan di mana kita melupakan segala nostalgia yang membelenggu usaha penyatuan umat Islam selama ini.

Mari kita bertolak ansur dan hidup dalam berkasih sayang agar kita dapat melahirkan satu kekuatan baharu umat Islam dan terus menggapai kemajuan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Tidak lupa juga, sebagai peringatan bersama, sentiasalah jaga SOP Covid-19 dan penjarakan fizikal semasa kita berurusan di luar terutama ketika membeli juadah berbuka puasa.

Semoga jumlah jangkitan semakin berkurangan dan kita dapat merayakan Aidilfitri yang bakal tiba dengan tradisi berkunjung yang tidak dapat kita lakukan pada tahun lepas kerana Covid-19 ini. Sama-sama kita jaga.

Akhir sekali, saya selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah mewakili semua Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Masjid Tanah, Jentera-jentera Pilihan Raya Dun (JPrD), cawangan-cawangan dan ahli-ahli PAS dalam kawasan ini mengucapkan selamat berpuasa dan semoga amalan kita sepanjang Ramadan ini akan diterima oleh Allah swt.

Marhaban ya Ramadan!
Marhaban ya Ramadan!
Marhaban ya Ramadan!

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
Yang Dipertua, PAS Kawasan Masjid Tanah
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka

 

 

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .