Home Artikel PAS Pahang

Makmur.FM siar dua rancangan bersiri setiap hari sempena Ramadan

202
SHARE

Radio internet Makmur.FM akan menyiarkan dua rancangan bersiri setiap hari bersempena bulan Ramadan yang bermula hari ini Selasa 13 April 2021. Rancangan-rancangan itu ialah Tafsir Surah Al-Furqan dan Kekasih Allah.

Rancangan Tafsir Surah Al-Furqan merupakan rancangan 17 Siri kupasan surah Al-Furqan yang disampaikan sendiri oleh penerbit rancangan itu Ustaz Aris Hazlan Ismail. Rancangan tersebut walaupun pernah disiarkan sebelum ini di stesen yang sama tetapi diulang semula atas permintaan ramai. Sebelum ini siri-siri tersebut disiar seminggu sekali, tetapi sempena Ramadan Kareem ini ia disiar berturut-turut setiap hari.

Sementara rancangan Kekasih Allah pula merupakan pengkisahan sirah kehidupan dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. sejak kelahiran hingga kewafatannya ditampilkan sebanyak 30 Siri. Semua siri tersebut akan disampaikan sendiri oleh penerbitnya Husna Hashim yang juga merupakan Pengarah Ameerah Malaysia. Sebelum ini rancangan tersebut pernah disiarkan di sebuah lagi stesen radio internet, Hijau.FM yang dikendalikan PAS Pusat.

Menurut Ketua Penerbit Rancangan Makmur.FM Azahari Abdullah, sesuatu yang menarik tentang kedua-dua rancangan ini ialah kaedah bagaimana rancangan-rancangan ini diperolehi. Katanya, rancangan Tafsir Surah Al-Furqan adalah hasil penukaran format (format conversion) dari kuliah bersiri Live Facebook Page Ustaz Aris Hazlan yang berbentuk video kepada format audio mp3 untuk siaran radio.

“Rancangan Kekasih Allah lebih menarik lagi penerbitannya kerana semua 30 siri itu merupakan hantaran peribadi melalui aplikasi Telegram oleh penerbit dan penyampainya Husna Hashim yang sebelum itu merakam penyampaiannya hanya dengan menggunakan telefon bimbit. Beliau menghantarnya sedikit demi sedikit hinggalah sempurna kesemua 30 siri.” kata Azahari yang juga selaku Penyunting Audio rancangan tersebut bagi menambah seri penampilannya dengan adunan muzik latar.

Azahari berharap para pendengar dan orang ramai turut dapat mencontohi kaedah mereka berdua ini dalam menyumbang bahan-bahan yang sesuai untuk disiarkan di stesen radio internet Makmur.FM bagi menambah lagi pengisian-pengisian menarik di stesen itu.