Home Artikel PAS Kelantan

“Jadi ‘bersih’ bila masuk PH” – Dato’ Che Lah

280 views
SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen Umno melompat parti menyertai PH adalah langkah menyelamatkan diri dari salah laku atau tuduhan yang terkait.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menyindir, menyertai PH merupakan jalan mudah membersihkan diri untuk menjadi sesuci Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan itu katanya, telah dilepas bebas daripada kes rasuah dihadapinya semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang berkait pembelian banglo di negeri tersebut sebelum ini.

“Saya dapat memahami masalah dan tekanan yang mereka (pimpinan dan MP Umno) dihadapi. Tapi bila masuk PH ‘jadi’ bersih ini bermakna tak ada beza Malaysia Baharu atau lama. Sama saja dengan zaman Umno-BN dulu.

“Mereka mungkin ada kesilapan kecil atau salah laku besar atau skandal tuduhan tertentu yang dengan sebab itu mereka ‘diburu’. Untuk selamatkan diri, mereka melompat,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan.

Menurutnya, PH sendiri kini membuka pintu kepada bekas Umno tersebut dan dengan penyertaan tersebut mereka itu dianggap bersih dari palitan yang ada.

Berdasarkan senario mutakhir, beliau percaya bekas Umno tersebut walaupun ada yang mengisytiharkan diri sebagai Bebas, tetapi akan menyertai salah satu parti komponen PH.

Bagaimanapun, beliau melihat pada ketika ini Bersatu adalah parti yang menjadi pilihan mereka di mana keadaan tersebut menimbulkan pula rasa kurang senang pimpinan PH lain.

Dato’ Che Abdullah turut menyatakan keyakinannya bahawa Ahli Parlimen PAS tidak akan melompat parti kerana jelas mereka itu bersih dari palitan dan tuduhan seumpama.

“Alhamdulillah MP kita bersih, tiada tekanan untuk menyelamatkan diri. Cita-cita perjuangan kita ni bukan nak jadi Menteri, bukan nak jawatan, tapi memperjuangkan prinsip.

“Jadi, sesiapa yang nak memperjuangkan prinsip, dia akan tetap bersama dalam PAS,” ujarnya melihat pembawaan PH kini sebenarnya masih mewarisi sifat dan tabiat Umno-BN dahulu. – HARAKAHDAILY 18/12/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/9151-jadi-bersih-bila-masuk-ph-dato-che-lah