Home Artikel PAS Perlis

PASTI Berperanan Beri Dimensi Baru Dalam Pendidikan

432 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

PORT DICKSON: PASTI perlu mengambil peranan yang lebih efektif dalam membawa dimensi baru dalam bidang pendidikan dengan mengambil peluang seluas-luasnya kewujudan teknologi baru.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, antara perkara yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan teknologi baru dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat bagi mendepani era ‘Internet of Things’ serta Revolusi Industri 4.0.

Untuk itu katanya, para pelajarnya mestilah dibekalkan dengan kemahiran semasa dan akan datang agar mereka tidak ketinggalan malah kehadapan dalam menggunakan teknologi untuk kebaikan manusia.

Tambahnya lagi, kurikulum PASTI juga mestilah mampu melahirkan para pelajar yang kreatif dan inovatif dan bukannya bersifat ‘exam-oriented’ sepertimana yang berlaku di kebanyakan institusi pendidikan pada hari ini.

“Keperluan pendidikan masa moden perlu diperkasakan agar insan soleh yang kita impikan bukan sahaja anak-anak yang baik akhlaknya, suci aqidahnya dan berpegang teguh dengan jati diri Islam malah pada masa yang sama, anak-anak ini juga menjadi ejen perubah masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Kualiti PASTI Malaysia 2018 di Hotel Grand Beach Resort, Port Dickson pada 15 Disember yang lalu.

Ujarnya lagi, dengan usia yang telah menjangkau 34 tahun dengan sejumlah 2291 cawangan di seluruh negara serta lepasannya telah menjangkau lebih daripada sejuta pelajar, PASTI kini semakin mendapat kepercayaan masyarakat dalam memberikan pendidikan awal Islam kepada kanak-kanak.

Justeru tambah beliau, dalam menghadapi era yang semakin pantas berkembang, PASTI mestilah berani dalam melakukan perubahan bagi memastikan institusi berkenaan kekal relevan serta berdaya saing.

“Persoalan yang lebih penting adalah, apakah PASTI telah bersedia untuk membawa perubahan dalam organisasi untuk mempersiapkan generasi akan datang.

“Era ‘Internet of Things’ dan Revolusi Industri 4.0 sudah pasti menuntut kepada pendekatan baru dalam mendidik dan membangunkan modal insan berjiwa Islam,” katanya.