Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Isu 2 Kabinet: Hayati Maksud Sebenar Cadangan Kerajaan Teknokrat

361 views
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 171/42
20 Jamadil Awwal 1439 | 06 Feb 2018

ISU 2 KABINET: HAYATI MAKSUD SEBENAR CADANGAN KERAJAAN TEKNOKRAT

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan/


1. Pelbagai salah faham dan penyelewengan fakta dihamburkan terhadap PAS berkenaan cadangan untuk memperkenalkan Kerajaan Teknokrat di Malaysia.

2. Sebahagian pihak memberikan tafsiran sebagai “pembentukan kerajaan 2 kabinet” yang merupakan suatu bentuk tafsiran yang terlalu lemah, semberono dan tidak memahami maksud sebenar cadangan kerajaan teknokrat.

3. PAS tegas menolak segala bentuk sistem kasta mahupun kerajaan teokrasi apatah lagi kerajaan diktator dalam sistem pemerintahannya.

4. Malah, cadangan kerajaan teknokrat tidak memaksudkan begitu sebaliknya ia adalah langkah penyelesaian jangka panjang yang diketengahkan bagi mengembalikan semula makna serta tujuan sebenar demokrasi.

5. Cadangan kerajaan teknokrat di Malaysia bertujuan menggabungjalinkan kelompok-kelompok pakar dalam bidang masing-masing serta mereka yang dipilih melalui sistem pilihanraya untuk duduk semeja dan berbincang bagi membangunkan negara bersama-sama.

6. Kelompok pakar ini akan diposisi pada bahagian kumpulan utama jentera pelaksana dasar dan polisi kerajaan disamping bertanggungjawab mengendalikan urusan berdasarkan kepakaran yang mereka miliki.

7. Itu maksud sebenar yang disampaikan oleh Presiden PAS yang sengaja diputarbelit oleh pihak yang berkepentingan. Sampai bila harus perkara (fitnah dan penyelewengan fakta) ini akan terus berlaku di dalam negara?

8. Cadangan tersebut tidak sama sekali mewujudkan sistem kasta seperti yang didakwa oleh sesetengah pemimpin parti politik yang hanya sekadar mengutamakan kepentingan politik berbanding menghasilkan kaedah terbaik sebagai jalan keluar terhadap krisis politik yang semakin buntu dan akhirnya merugikan rakyat.

9. Konsep kerajaan teknokrat mampu mengendurkan ketegangan parti-parti politik di Malaysia yang menyebabkan wujudnya suatu persaingan yang bukan di atas kepentingan rakyat tetapi lebih menjaga “periuk nasi” politik masing-masing.

10. Tambahan lagi, yang paling mustahak adalah ia juga turut memanfaatkan kepakaran yang dimiliki golongan pakar supaya turut serta memberikan sumbangan ilmu dan kepakaran masing-masing bagi membangunkan negara.

11. PAS mengharapkan agar cadangan kerajaan teknokrat ini dibahaskan secara ilmiah dan bukan di atas sentimen yang akhirnya merugikan rakyat.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.