Home Berita PAS Melaka

Iqtisad rakyat : Ibrah daripada strategi ekonomi Nabi Yusuf

635
SHARE

Oleh : Haji Rafie Ahmad

”RAJA berkata (kepada orang-orang terkemuka daripada kaumnya): ‘Sesungguhnya, aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh tangkai lainnya yang kering. Hai orang-orang yang terkemuka, terangkanlah kepadaku tentang takbir mimpiku itu jika kamu dapat menakbirkan mimpi’.” (QS Yusuf: 43).

Yusuf mengatakan, ”Supaya kamu bercucuk tanam selama tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa, maka apa yang kamu tuai, hendaklah kamu biarkan ditangkainya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian, sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya , kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang kamu simpan. Kemudian, setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu, mereka memerah anggur.” (QS Yusuf: 47-49).

Penulis memulakan penulisan kali ini dengan memetik ayat-ayat di atas kerana ianya sangat bertepatan dengan situasi semasa yang kita sama-sama hadapi sekarang ini.

Hari ini seperti yang kita sedia maklum, negara kita malahan negara-negara lain di seluruh dunia menghadapi saat-saat yang mencemaskan berhadapan dengan wabak Covid 19. Di negara kita saja kebelakangan ini, ribuan kes baharu dicatatkan setiap hari malahan jumlahnya semakin meningkat.

Sudah lebih setahun wabak ini melanda dan akhir-akhir ini trend kenaikan bilangan kes positif khususnya di negara kita semakin meningkat. Pada hari rencana ini ditulis, lebih daripada empat ribu kes baharu dicatat dengan jumlah kluster-kluster baharu yang semakin bertambah. Jika sesuatu tindakan yang lebih drastik tidak segera diambil, tidak mustahil jumlah kes positif akan terus meningkat dengan lebih tinggi.

Kita sekarang berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sehingga 4 Feb 2021 dan sehari dua ini heboh diperkatakan di alam maya bahawa ‘total MCO’ seperti Mac 2020 mungkin terpaksa dilakukan. Bila perkara seperti ini timbul, satu persoalan dan perbandingan yang sering dilontarkan ialah soal keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan.

Benar, kita perlu menjaga nyawa dan kesihatan rakyat namun soal ekonomi negara dan rakyat juga berada pada titik utama yang sama.

Padah penutupan sepenuhnya aktiviti ekonomi

Memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemasaran Pendidikan (CME), Dr Carmelo Ferlito, beliau mengatakan sebarang tindakan untuk menutup sepenuhnya aktiviti ekonomi sekiranya kes COVID-19 di negara ini gagal dikawal hanya akan memusnahkan ekonomi.

Tambah beliau lagi, bukti saintifik juga menunjukkan penutupan ekonomi tidak berkesan dalam mencegah penularan Covid-19. Ekonomi ini merupakan satu rantaian atau jalinan dan jika salah satu rantaian ini putus, ia sudah pasti akan melumpuhkan rantaian yang lain.

Bagi penulis, semua sektor dalam negara kita ini memainkan peranan yang sama penting dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Perbincangan tentang manakah yang lebih penting dan utama adalah sangat subjektif dan perlu disepakati bersama.

Soalnya sekarang bagaimana kita sebagai rakyat perlu menguruskan keperluan ekonomi keluarga kita bersesuaian dengan tempoh-tempoh kritikal yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Tidak dinafikan pelbagai insentif dan bantuan yang telah, sedang dan akan disalurkan oleh pihak kerajaan kepada rakyat terutamanya kepada golongan-golongan yang terkesan sepanjang krisis ini.

Kerajaan jangan kedekut

Penulis teruja dengan ungkapan Tuan Guru Presiden PAS baru-baru ini di mana beliau mengatakan :

“Kerajaan jangan bakhil. Perlu belanja untuk keperluan rakyat. Perbelanjaan yang membawa berkat dan menambah hasil negara“.

Inilah antara falsafah-falsafah ekonomi seperti yang digariskan dalam teori ekonomi khususnya oleh Ibnu Khaldun dan diambil sebahagiannya oleh teori ekonomi barat.

Secara relatifnya kita sedia maklum bila ‘input’ tinggi maka ‘output’ juga akan tinggi. Bila kerajaan berbelanja untuk keperluan rakyat, maka rakyat pula akan berbelanja dan aliran wang tunai akan berkembang dan ekonomi juga akan berkembang.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2620 bertarikh 29 Januari 2021

Ia sekali gus sudah tentu merancakkan ekonomi negara kita khususnya di peringkat domestik. Ianya seperti konsep bersedekah di dalam Islam. Lebih banyak kita bersedekah lebih subur harta kita dan lebih banyak pula rezeki yang Allah akan kurniakan kepada kita.

Alhamdulillah, setakat ini kita melihat kerajaan secara umumnya mendengar keluhan rakyat serta cakna kepada permasalahan rakyat meskipun ada beberapa isu yang masih melingkari sebahagian rakyat seperti isu i-sinar, bantuan untuk pelajar universiti, moratorium dan beberapa persoalan lain yang berkaitan.

PERMAI untuk ransang ekonomi

Pakej rangsangan ekonomi tambahan yang dinamakan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) telah diumumkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri dan ianya memberikan fokus kepada tiga matlamat utama iaitu :

1. Memerangi Covid-19

2. Memelihara kesejahteraan rakyat

3. Menyokong kelangsungan perniagaan

Diharapkan pakej PERMAI ini benar-benar dapat memberikan sokongan tambahan kepada seluruh rakyat khususnya di dalam usaha untuk memerangi wabak ini di samping menjaga kesihatan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan juga dalam masa yang sama dapat terus merancakkan ekonomi negara kita ini.

Sebagai rakyat, sudah tentu kita juga mempunyai peranan bersama yang perlu dimainkan. Mengambil ibrah daripada ayat dalam Surah Yusuf yang dinyatakan di awal penulisan tadi maka di antara intipati penting yang perlu kita ambil ialah dalam apa juga keadaan kita perlu berbelanja secara berhemah dan jangan lupa pula untuk menabung atau menyimpan sebahagian untuk hari-hari yang mendatang.

Betul, kita perlu hidup untuk hari ini, namun kita juga perlu bersedia untuk hidup hari esok dan hari-hari seterusnya. Mungkin usia kita semakin menghampiri senja namun anak-anak kita masih bertatih untuk meneruskan hidup mereka.

Kita sering mendengar kata-kata hikmah yang berbunyi ‘berusahalah seolah-olah kita akan hidup di dunia ini seribu tahun lagi dan beramallah seolah-olah esok kita akan meninggalkan dunia ini’.

Moga negara dan rakyat Malaysia akan terus aman dan sejahtera.

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Negeri Melaka dan ahli Grup Penulis PAS Melaka



Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN – Bahrum : 011-16964842