Home Artikel PAS Melaka

Peniaga kecil tiada SSM boleh dapat pinjaman TEKUN hingga RM5000 – Mas Ermieyati

1573
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 6 Feb : Peniaga kecil yang tiada pendaftaran SSM masih boleh mendapat pinjaman Skim Pembiayaan Informal (SPIN) di bawah TEKUN Nasional dengan pembiayaan maksimum RM5000.

Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dalam satu hantaran di laman Facebook peribadinya tengahari tadi.

Tambah beliau lagi, program anjuran TEKUN yang merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini sebenarnya telah dipermudahkan prosesnya.

“Cara nak mohon telah dipermudahkan. Bawa ke pejabat TEKUN salinan IC, penyata bank (satu bulan), bil utiliti dan bukti terdapat perniagaan dijalankan.

“Lulus dalam tujuh hari. Tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun atau 36 bulan,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah ini menambah, dengan usaha ini, iaitu dari segi mempercepatkan kelulusan dan kelonggaran syarat, ia diharap dapat membantu usahawan kecil yang telah kehabisan modal dan sebagainya untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Oleh itu, saya menasihati pengusaha mikro dan PKS menghubungi pegawai-pegawai di cawangan yang menguruskan kemudahan ini bagi memohon pembiayaan ini.

“Saya diberitahu oleh pegawai TEKUN cawangan Masjid Tanah yang tak ada lagi usahawan di kawasan kita yang daftar untuk program Skim Pembiayaan Informal atau SPIN ini,” ujar beliau lagi.

Beliau membuat hantaran Facebook itu selepas berkunjung ke Pasar Tani di Pekan Masjid Tanah mencari barang dapur sambil bertanya khabar usahawan-usahawan yang berniaga di situ pagi tadi.

Kredit foto : Facebook Mas Ermieyati Samsudin



Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN – Bahrum : 011-16964842